Setelah misi kerajaan Malaysia berjaya menghantar angkasawannya, Dr. Firdaus Ghani sebagai angkasawan pertama Asia Tenggara menjejaki kaki di planet Marikh; negara menyaksikan satu lagi sejarah telah terlakar. Akan tetapi, beliau telah menjadi lagenda kerana terbunuh akibat terkena serpihan asteroid yang telah melanda planet itu secara tiba-tiba.
Enam tahun kemudian, sebutir meteor gergasi dijadualkan akan merempuh bumi pada tahun 2030 di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun ketika itu pembangunan negara telah mengalami perubahan pesat serta gaya hidup yang serba moden, tetapi mereka semua terpaksa akur dengan takdir dan kuasa Tuhan apabila segala macam teknologi canggih yang dicipta untuk memusnahkan meteor itu tidak berjaya menyekat kemaraannya. Malaysia dengan ciptaan teknologi Meteorite Destruction Machine-nya; Eropah dengan robot artifical intelligence-nya serta Jepun dengan inovasi peluru berpandu jarak jauh berkuasa tinggi. Tetapi malangnya, nasib penduduk dunia semakin terancam apabila percubaan kelima-lima peluru berpandu yang telah dilancarkan oleh Jepun itu telah menjadikan meteor gergasi itu terpecah menjadi lima butir kesemuanya.
Ketika meteor-meteor itu semakin menghampiri bumi, semua penduduk dunia menjadi panik dan tidak tenteram lagi. Masing-masing menghadapi konflik yang tersendiri. Dr. Bazli yang telah bertunang dengan Azrina berada dipersimpangan dilema apabila mendapat tahu tunangnya adalah bekas pelacur walaupun permohonan mereka berdua untuk ke Marikh telahpun diluluskan. Faizal pula terpaksa mengorbankan kasih sayang terhadap kedua ibu-bapanya bagi menyelamatkan adik-beradiknya apabila kerajaan mengumumkan golongan tua tidak dibenarkan pergi ke Marikh atas faktor usia. Pasangan kembar, Shahril dan Shahrun pula berdepan dengan realiti apabila adiknya, Shahrun juga tidak dibenarkan kerajaan menyertai misi pemindahan manusia ke Marikh di atas sebab dia adalah bekas seorang banduan.
Berjayakah mereka menyelamatkan diri masing-masing daripada ancaman dunia paling dahsyat dekad itu? Ikutilah kisah ini untuk mengetahui cerita selanjutnya dalam keadaan yang penuh mendebarkan ini.


