Bab 3

 

Akhbar yang menyiarkan berita mutakhir tentang perlawanan separuh akhir Piala FA itu memang menggemparkan. Hari yang tidak disangka-sangkakan itu merupakan hari malang buat Selangor. Berita dari Utusan Malaysia yang kuratapi itu menambahkan lagi kerunsingan.

 

BOLA SEPAK PIALA FA

SELANGOR REBAH AWAL

Juara bertahan, Selangor tewas mengejut 2-0 kepada Kuala Lumpur pada perlawanan separuh akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. Pasukan tuan rumah jelas tidak gentar berdepan dengan skuad Red Giants dengan mempamerkan permainan penuh bertenaga sebaliknya setiap serangan Selangor yang di ketuai Azrani Ahmad dan Asraf Hanafiah serba tidak menjadi.

Di hadapan 1,500 penonton penyerang bertubuh kecil yang semakin meningkat, Azizan Mohd Kamal memukau Selangor dengan jaringan pembukaan pada minit ke-60 sebelum pemain tengah, Ravi Subramaniam menambah duka Selangor dengan gol kedua pada minit ke-83. Kuala Lumpur akan bertemu dengan Kedah setelah pasukan itu membelasah Melaka 5-0 oleh Amirul Naqiyuddin pada minit ke-33 dan 49, Mohd. Saufie Sallehuddin (69) dan Md. Radzi Rashid (74, 85) manakala Perak yang mendapat gol 1-0 daripada Azham Naim (36) akan bertemu dengan Sabah pada Sabtu depan pada suku akhir Piala FA di stadium masing-masing.

 

bab31.jpg
Aku mengatur langkah menuruni anak tangga dari tingkat atas ke tingkat bawah menuju ke ruang tamu serentak terus ke meja makan. Suratkhabar yang dibaca masih terkepit di kedua-dua belah tangan sambil terus dibuai keasyikan menikmati isi pendek berita itu. Kelihatan emak dan adikku sedang sibuk di dapur ke hulu ke hilir, menyiapkan sarapan pagi. Suratkhabar yang dibaca dilipat kemas lalu ditinggalkan di atas meja kopi berwarna coklat walnut diruang tamu dengan dihiasai pasu bunga ros merah hati di sebelahnya.

“Zif, kau tak ke FAS tu lagi ke? Sekarang dah pukul lapan pagi, biasanya awal-awal pagi lagi kau dah ke sana.” Tanya emak yang agak kehairanan melihatkan perubahan sikap anak kesayangannya itu.

“Alah…kejap lagi Zif pergilah mak. Hari ni perjumpaan bermula lambat sikit. Lagipun hari ni bukannya ada training pun,”

“Zif sebelum kau ke sana jamahlah dulu makanan di atas meja tu. Takkan kau nak pergi dengan perut kosong, nanti pengsan pula,” pesan emaknya mengambil berat.

“Yalah…mak,” balasku serentak mencapai cawan menghirup air teh panas yang terhidang di atas meja.

Perjumpaan pada minit mesyuarat tergempar itu mengenai kekalahan Selangor dalam perlawanan semalam dan beberapa agenda lain yang bakal dibincangkan nanti akan bersidang dua jam dari sekarang. Minit mesyuarat yang semestinya dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Selangor akan dipengerusikan oleh pengurus pasukan Selangor-Datuk Taharuddin Mohammad Talib, penolong pengurus pasukan Selangor-K.Vivekanathan, jurulatih import- Kent Wilson, ketua pasukan Selangor-Ismail Mohd Isa dan semua pemain Selangor yang terpilih diwajibkan hadir. Tetapi yang paling istimewanya buat kami ialah jurulatih kami, Kent Wilson yang telah banyak menyumbangkan segala pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang bola sepak. Dia juga telah banyak mendidik dan membimbing sehingga mengangkat kami sebagai juara dan mendapatkan kami memenangi banyak pingat-pingat kejohanan dan piala termasuklah Piala Malaysia. Sesungguhnya jasa Kent Wilson selama membimbing pasukan Selangor tidah harus dilupakan. Berkat dan kesungguhan beliau banyak melahirkan ramai pemain-pemain berbakat dan berwibawa serta bertangggungjawab meletakkan nama-nama kami sebaris dengan pemain handalan dunia lain.

***

PAGI ITU aku memulakan perjalanan dari kawasan kediaman di atas bukit menuju laluan susur ke Lebuhraya Persekutuan dari arah Subang Jaya, ke destinasi Wisma FAS di Kelana Jaya. Menderum enjin kereta ketika dihidupkan. Had kelajuan 40 km sejam masih dikekalkan sambil mata sempat meninjau-ninjau panorama sekeliling yang dihiasi dengan pokok-pokok pinang yang subur menghijau di sepanjang bahu jalan menembusi tingkap kaca yang lutsinar. Siaran ringkasan berita yang akan ke udara dari corong radio KL FM 97.2 terus berkumandang ke seluruh sudut kereta.

“Ya! Ya! Selamat pagi orang Kuala Lumpur, selamat pagi Malaysia. Sebelum saya membacakan ringkasan berita dalam Berita Nasional pada jam 9.00 pagi… saya….Mansor Salleh di sini akan menemani anda dalam segmen Salam Intereaktif SILK pada jam 10.00 pagi sehingga ke 1.15 tengah hari nanti. Ohh….! Hampir terlupa saya…pesanan kepada pemandu-pemandu di luar sana yang akan menuju ke Lebuhraya Persekutuan kesesakan dijangka akan berlaku berhadapan Angkasapuri, Plaza Pantai, Jalan Syed Putra, Jalan Raja Laut yang menuju ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang ke Jalan Pudu serta laluan ke Kelana Jaya dan Shah Alam. Jadi pemandu-pemandu dijalan raya diingatkan supaya tidak memilih jalan-jalan yang disebutkan tadi. Bagi pemandu-pemandu yang meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur bolehlah menggunakan jalan lain seperti Jalan Damansara, Jalan Kayu Ara, Jalan Sri Hartamas dan Jalan Semantan sebagai pilihan kedua untuk mengelakkan daripada kesesakan tersebut. Tetapi pemandu-pemandu tidak perlu bimbang kerana masalah kesesakan tersebut akan dapat diatasi apabila kerajaan akan membina lebih banyak laluan baru seperti Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link yang akan bermula awal tahun depan. Pemandu juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati lebih-lebih lagi pada musim kemalangan ini. Begitulah….mengikut laporan Unit Polis Trafik Jalan Raya….Sekian…Terima kasih…”

Berita tentang kesesakan lalulintas itu tidak pula memaksa aku untuk menyimpang haluan perjalanan kerana memandangkan perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya tidaklah berapa jauh. Jadi aku memilih untuk terus berada di sepanjang Federal Highway itu. Jika terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas pun mungkin tidak lama. Namun, bagi aku yang mengejar masa aku tetap memintas jalan agar dapat cepat tiba. Sudah berbuah-buah kereta aku loloskan dengan cara memotong jalan. Belum sempatku menukar barisan jalan yang lain, sebuah bas yang saratnya dengan penumpang terlebih dahulu memotong. Juruhebah itu menyambung semula siaran; memulakan pula pembacaan berita dengan gaya pengucapan yang menarik perhatian pendengar selepas putaran selingan dimatikan.

“Tit…tit…tit…Ringkasan berita dari bilik KL FM akan dibacakan oleh Mansor Salleh. Kuala Lumpur…Lembaga penyiasat nahas helipkopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sipitiang, Sabah minggu lalu berpendapat dua pesawat NURI yang terbabit tidak berlanggar di udara…Menurutnya, lembaga penyisat yang diketuai Lt. Kol Ranjit Sigh Gill berkata beliau juga tidak menemui sebarang bukti yang berpunca daripada nahas itu…Lembaga itu juga berkata…………….”

Siaran berita yang memualkan itu terputus apabila berjauhan dengan stesen pemancar sebaik kereta aku memasuki terowong. Tangan aku mula menyetel papan penala digital didashboard untuk menukarkan gelombang radio yang tinggi kepada berfrekuensi rendah; lantas menggodeh-godeh dan mencari siaran radio yang lain. Siaran terpancar menemani kesunyian apabila melintasi sempadan 87.7 FM stereo. Kedengaran ringkasan berita sukan dari stesyen Nasional FM yang hampir ke penghujung siaran memenuhi pendengaran.

“……dan jaringan gol oleh Azizan Mohd Kamal pada minit ke-40 serta gandingan kuat rakan sepasukannya, Ravi Subramaniam pada minit ke-83 menamatkan impian Selangor pada suku akhir Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. Pemain Selangor yang diketuai Azrani Ahmad dan…………”

Lantas aku mematikan siaran itu. Siaran berita yang kedengaran hanya menyebakkan dada dan menambahkan lagi tekanan emosi. Aku cuba memandu secara merbahaya melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Perjalanan terus menyusuri lampu isyarat berwarna hijau sebaik sahaja lampu merah hilang dari pandangan; menghala pula ke kawasan berbukit curam sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Papan tanda amaran AWAS! SIMPANG MERBAHAYA DI HADAPAN tidak diendahkan. Aku membelok secara tergesa-gesa melalui simpang keluar ke kawasan lapang bukit yang di halang oleh pokok-pokok ru disekeliling. Sempat pula aku mengelak apabila mata mula mengawasi lori balak yang muncul berselisih di hadapan, serentak hon kuat memberikan amaran.

“Honk….! Honk…! Honk…..! Honk…..!” Kereta berhenti dalam keadaan meyerong di kawasan tanah merah yang sedikit berlopakan dengan lumpur apabila aku membrekkan-nya secara mengejut. Tayar dihadapan terperlus ke dalam lumpur membedakkan sebahagian warna hitam tayar itu. Aku menghembuskan nafas panjang kerana kereta yang kupandu tidak merempuh bahagian hadapan lori itu. Pintu kereta dibiarkan terkuak luas sambil berbaring tenang di kerusi kereta untuk menghindarkan kegusaran. Tiupan angin perlahan meluru masuk ke dalam kereta. Mata sempat merenung jauh bangunan pencakar langit di sekitar bandaraya Kuala Lumpur megah berdiri dengan diselubungi kabus tebal. Aku masih terngiang-ngiangkan kedengaran berita tadi tentang kekalahan Selangor dalam perlawanan malam-semalam begitu menghantui fikiran dan benar-benar meninggalkan kesan.

Runsing yang melanda perasaan, tiba-tiba saja terlintas di fikiran mengingatkan sesuatu, sepantas-pantasnya laci kereta dibuka lantas menyelongkar dan tercari-cari. Kotak cincin berbalut baldu biru yang di dalamnya berisi sebentuk cincin bertatahkan berlian, sungguhnya terpukau dengan kemilauan yang memancar dan berkilat-kilat menyilaukan mata. Seindah syurgawi mata memandang. Direnung selama mungkin cincin itu, terus saja mengukir harapan. Cincin berlian adalah kekal abadi. Tersenyum, dan berharap agar harapan itu akan bersemi suatu hari nanti.

10 Comments »

Bab 2

Skuad Selangor mengundurkan diri menuju ke bilik persalinan persendirian, sementara pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur yang menjuarai pusingan semi final Piala FA sedang meraikan kejayaan sambil menjulang tinggi piala keagungan Malaysia itu. Di luar sana, wira- wira yang menjadi juara pada malam itu sedang diserbu oleh peminat-peminat untuk sama-sama menjadikan kemenangan itu sebahagian daripada kehidupannya, termasuklah tandatangan daripada bintang pujaan mereka sebagai cenderahati dan tidak kurang sesetengah peminat sempat pula bergambar mesra dengan idola masing-masing. Tetapi di dalam sini, keadaan dibilik persalinan tidak lagi diwarnai dengan keceriaan oleh sepasukan pemain Selangor yang hanya membisukan diri sedang menahan sebak dengan kekalahan yang memalukan mereka sebentar tadi.

“Jadi, pasukan kita dah kalah, bukan?” tanya Azrani secara mengejut yang muncul entah dari mana. Dia datang dengan kakinya kelihatan berbalut dengan kain perca.

“Kita sebenarnya tak kalahpun Azrani. Semangat kita masih lagi hidup. Janganlah bersikap terlalu pesimistik sangat. Kalau kita asyik fikirkan kekalahan je, maka kita tidak akan mengecapi kemenangan langsung untuk perlawanan-perlawanan seterusnya. Apa yang kita nak kesalkan lagi. Dan aku rasa kita juga patut bangga kerana dapat sampai ke peringkat semi final ni,” jelas Ismail yang juga mengetuai pasukan Selangor sedang berusaha menyedarkan rakan-rakannya yang lain yang kelihatan sudah patah semangat dalam diri terutamanya kepada Azrani yang selalu bersikap pemarah dengan menjadikan seseorang sebagai mangsa cemuhannya. Baginya jika pasukannya kalah dalam satu-satu perlawanan mesti ada seseorang yang harus bertanggungjawab. Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran cemuhannya itu. Dan sasarannya kali ini tentulah Razif kerana Razif yang masuk menggantikan tempatnya masih tidak dapat menunjukkan sebarang perubahan.

“Bangga? Dengan pencapaian yang baru sampai semi final kau cakap bangga? Hei, kau tahu tak Mail. Sebenarnya kekalahan ni adalah pencapaian terburuk bagi skuad Selangor, kau tahu tak? Kita jarang memperolehi rekod terkeluar daripada semi-final ataupun kalah dengan skuad kecil macam Kuala Lumpur. Dulu kita disanjung, dulu kita disegani oleh mana-mana skuad yang ada di Malaysia ni. Dan bila ni berlaku ia adalah sesuatu yang sangat memalukan bagi skuad yang terhandal seperti kita ni.” Sampuk Azrani yang sudahpun keluar dari bilik rawatan, sedang berehat dengan kaki berbalut di atas bangku panjang di bilik persalinan itu. Kecederaannya tidaklah begitu serius. Doktor mengesahkan dia cuma mengalami kekejangan otot dan akan pulih dalam masa beberapa hari sahaja.

“Okeylah tu. Kita patut bersyukur sebab dapat sampai ke peringkat semi-final ni. Sekurang-kurangnya kita taklah teruk sangat daripada skuad lain yang tak dapat masuk ke semi-final langsung. Apalagi yang kau nak?”

“Mail, kita sebenarnya dahpun terlepas satu peluang yang sangat besar dan kekalahan ni juga sebenarnya telah merugikan bagi kita semua. Kita takkan kalah jika kita tidak lakukan sesuatu yang bodoh. Kita masih boleh selamatkan apa yang kita perlu selamatkan daripada menemui kekalahan. Tidakkah kau nampak lagi?” Dia mula bangun perlahan-lahan, menghambat ke pintu lokarnya dengan terincut-incut sambil mencapai apa sahaja yang ada berdekatannya sebagai penyokong untuknya berdiri.

“Macam mana kau nak selamatkan keadaan sedangkan waktu tu kau tak ada sebab kaki kau cedera?”

“Tapi Ismail, masalah sekarangnya bukannya kaki aku yang tercedera ini menyebabkan kekalahan tu. Aku masih lagi boleh bermain dalam keadaan perlawanan tu. Aku lebih rela bermain dalam keadaan kesakitan ni daripada aku digantikan dengan Razif yang tak berpengalaman langsung tu!”

“ Hei, Azrani! Kau jangan cuba menyalahkan aku dalam hal ni. Apa, kau ingat kau seorang ke yang layak bertanding dalam perlawanan tu? Aku tahulah kau sudahpun bergelar pemain kebangsaan, tapi janganlah berlagak sangat dengan memandang rendah pada aku!”

“Alah, kau tu memang tak tahu main pun, sama juga kau tak payah bermain untuk pasukan Selangor ni,” Azrani terus saja bersikap angkuh dengan memperbesarkan dirinya bagaikan mendabik dada. Anggapnya, statusnya sebagai pemain senior pasti tidak layak untuk bercampur dengan pemain juniornya itu.

“Hei, aku dah cukup sabar tau dengan kau tau, Azrani!” Tak sangka pula sindiran pedas Azrani itu menyebabkan pergaduhan kecil di dalam bilik persalinan itu. Razif yang lama menahan sabar menyambar kolar jersi Azrani lalu menghempaskan badannya ke pintu lokar. Kolar jersinya digenggamnya sekuat hati melepaskan perasaan geramnya terhadap Azrani. Beberapa rakannya yang lain sedang memerhati tekun gelagat mereka berdua.

“Hei! Hei! Hei! Kaki aku! Kaki aku!” Bila Azrani mula menjerit bagi memberitahu Razif supaya berhati-hati agar tindakannya tidak mengena kakinya yang masih berbalut itu. Sebaik aku menyedarinya, aku mula melonggarkan genggaman tangan aku yang kemas menjerut lehernya.

“Hei…! Hei! Hei! sudah! sudah! Kamu berdua tak boleh tak bergaduh. Cuba kita ni bertolak ansur baik-baik bukannya dengan bergaduh macam ni. Kau orang ni macam budak-budaklah, tak boleh kalau tak bercekau. Yang kau ni Azrani, kenapa kau pergi salahkan si Razif ni? Dia bukannya penyebab kekalahan ni, dan tidak ada sesiapa pun yang menyebabkan kekalahan ni. Kita dah cuba apa saja untuk menang, tapi bila kita kalah itu adat pertandinganlah. Razif ni kan hanya pemain simpanan je. Dan aku rasa tak adillah kau menyalahkan dia,” Talib cuba meredakan pertengkaran di antara Razif dan Azrani supaya tidak berlanjutan. Memang menjadi lumrah bila pasukan mereka mengalami kekalahan; terdapat sebelas pemain dalam skuad tetapi apabila kalah hanya seorang dua yang menjadi sasaran. Perkara ini mungkin tidak adil kerana semua pemain perlu memikul tanggungjawab yang sama.

“Aku memang dapat terima kekalahan ni. Dan aku jugak dapat terima jika aku digantikan dengan pemain simpanan. Tapi pemilihan Razif tu aku rasa tak bersesuaian. Ramai lagi pemain simpanan yang ada tapi kenapa pilih dia? Cuba kau fikir dah berapa banyak duit persatuan kita dah rugi dengan hanya kesilapan kecil macam ni?”

“Arghhhh……….!,” Razif kembali mengemaskan pakaian-pakaian tengiknya ke dalam beg, menyarungkan pula sepasang kasut Adidas sparenya disisi lalu beredar pergi dalam keadaan kemarahan.

BOLA yang melantun-lantun menggemakan sudut stadium. Barisan kerusi tidak didiami satu makhluk pun. Kosong. Sampah-sarap bertaburan di sana-sini. Sesekali angin malam yang bertiup melayangkan kertas dan sampah yang berselerakan di atas tangga lalu melayang berkali-kali. Tidak lagi semeriah perlawanan Piala FA yang berlangsung tadi, sama seperti perasaan aku sekarang ini. Memandangkan keadaan stadium yang sunyi sepi, malam yang sungguh indah dan tenang, memaksa aku untuk duduk bertenggek di atas kerusi diruang stadium yang kosong itu. Entah mengapa hati aku tergerak untuk turun mengambil angin. Termenung jauh ke arah padang yang luas terbentang. Entah apa yang dimenungkan itupun tidak tahu. Agaknya pertengkaran kecil sebentar tadi? Ataupun kekalahan yang menimpa skuad Selangor dalam perlawanan Piala FA tadi? Mungkin juga.

Stadium yang luas itu aku amati sepuas-puasnya. Banyak kertas-kertas berterbangan. Tiba-tiba sehelai poster yang melayang lalu singgah dikakiku. Bila dicapainya, kudapati poster aku dengan wajah yang serius tanpa senyuman itu telah membuatkan hatiku sedikit tercuit. Malah poster yang keadaannya yang sudah agak ronyok dan kotor itu juga telah membuatkan aku tersenyum lebar. Tersenyum bukan kerana posterku yang tidak dihargai dan telah dibuang di mana-mana. Tersenyum kerana masih ada yang sanggup datang ke stadium dan mengibarkan posterku walaupun aku masih belum sebaris di antara pemain terbaik Malaysia. Jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan pemain dunia. Tidak seperti pemain-pemain lain yang namanya begitu gah dipersada tempatan mahupun antarabangsa. Ini semua sudah membuktikan betapa sokongan peminat begitu tinggi dalam menaikkan semangat wira-wira yang mereka pujai. Sekurang-kurangnya perasaan itu juga dapat melegakan aku tentang penilaian yang telah dibuat Azrani terhadap aku tadi.

Poster itu kuletak baik di sebelah serentak ditindih dengan bola; lalu aku menongkat semula dagu. Termenung lagi. Tanpaku sedari, sepasang kaki sedang melangkah ke arah aku.

“Hai abang Razif, boleh saya dapatkan autograph?” Suara lembut berlunak dari arah belakang mengejutkan aku daripada terus dibuai leka. Aku segera menoleh ke belakang. Tersenyum dan senyuman itu yang menyambut kedatangannya.

“Tak….boleh,” jawabku dengan nada perlahan. Rasanya, inilah kali pertama aku tidak memberi tandatangan aku kepada peminat.

“Kenapa pulak tak boleh?”

“Awak tanya saya kenapa? Awak tanyalah diri awak sendiri,”

“Yalah, kenapa peminat tak boleh mendapatkan autograph pulak?”

“Sebab…awak bukannya peminat saya, tapi orang yang paling I sayangi, lebih daripada bola tu,” Aku menjuihkan bibir menunjukkan ke arah bola sepak bersebelahan beg pakaian. Kami ketawa berdekah-dekah kerana kebodohan sendiri. Lin yang muncul dari tadi cuba menjerat aku dengan soalan jenakanya. Dia menyambung semula perbualan selepas mengambil tempat di sebelah aku. Sebelum melabuh punggungnya, sempat pula dia menyambar poster yang tertindih dengan bola itu.

“Lebih daripada bola ke atau lebih daripada poster ni?” Lin masih meratapi poster dengan penuh minat.

“Poster atau bola, bagi I semuanya sama je. I tetap pun macam ni,”

“Sekurang-kurangnya ada juga peminat yang menyokong you. You sepatutnya hargai semua tu,” Aku sengaja mendiamkan diri. Terasa malas hendak menyambungnya. Tetapi Lin tetap berkeinginan untuk memanjangkan perbualan itu. “Zif you buat apa sorang-sorang kat sini? Kenapa tak balik lagi? Kawan-kawan you, I tengok semuanya dah lama balik,”

“Biarlah dia orang balik. Dia orang bukannya pedulipun pasal I.” Kata-kata aku yang bernada kecewa itu, begitu cepat dapat dihidu oleh Lin.

“Zif, I faham you kecewa dengan semua ni dan I juga turut bersimpati di atas kekalahan you. Tapi you tak perlulah emotional sampai menyalahkan orang lain,”

“I menyalahkan orang? I yang menyalahkan orang ke atau orang yang menyalahkan I?”

“Razif, tak perlulah menyalahkan sesiapa dalam hai ini. Tidak ada sesiapa yang bersalah di atas kekalahan ini. Dan tak ada gunanya bergaduh sesama sendiri. Kitapun tak minta untuk kalah dalam perlawanan ni. Masih banyak masa lagi untuk mencipta kejayaan. You seharusnya lebih tahu macam mana hendak menerima hakikat ni,” Lin menyentuh lembut tanganku, digenggamnya longgar.

“Ya, I tahu untuk menerima hakikat ni, Lin. Tapi..apa nak buat. I sudah berusaha bermati-matian untuk menang dalam perlawanan tu, tapi nasib tidak menyebelahi I,”

“Jangan bimbang Zif, I tetap berada disisi untuk menyokong you. Dan I berharap pasukan you akan tetap dapat melakar kejayaan pada masa hadapan,”

“I rasa, I rasa teruk sekali bila setiap kali kalah dalam perlawanan. Bila kalah tadi, semua orang menunding jari kepada I. Seolah-olah Ilah penyebab kekalahan ini,”

“Razif, sebenarnya bukan you yang menyebabkan kekalahan tu. Mereka tak berhak berkata begitu. Ini semangat berpasukan. Jadi semuanya memikul tanggungjawab yang sama. Kegagalan sekali bukan bermakna kegagalan buat selama-lamanya. Masih belum terlambat untuk mencapai impian you tu, sebab I percaya bahawa you boleh buat semua tu,” Lin cuba meredakan perasaanku yang bergolak dengan semangat penuh keyakinan. Tapi aku waktu itu tidak mampu lagi untuk meneruskan perbualan itu. Jalan yang terbaik adalah pulang ke rumah.

“Jomlah kita balik, Lin.” Aku menarik pantas tangannya lalu mendaki tangga; serentak terhenti langkah membetulkan tali kasut yang longgar.
“Hei, dah lupa ke dengan bola kesayangan you ni?” Aku menangkap kemas bola itu sebaik dicampak Lin, dikepit pula bola itu di bawah ketiak. Kami berjalan berpimpin tangan menaiki anak-anak tangga. Sedar tak sedar perbualan kami itu telah meninggalkan perkarangan stadium dan menuju pintu keluar. Aku cuba mengalihkan topik perbualan.

“Lin, boleh I beritahu you sesuatu tak?” Lin mula mengerutkan keningnya apabila mendengar pertanyaan itu.

“Boleh, apa yang you nak beritahu I. Cakap jelah,”

“Em….suatu kejutan paling besar tahun ni, dan bolehlah dikatakan berita gembira untuk you dan I,” Linda masih buntu tetapi cuba untuk meneka jawapan.

“Berita gembira..untuk I dan you?Apa yang you maksudkan ni?”

“Kalau you nak tahu apa yang I maksudkan you kenalah teka,”

“A….a…ahh I tahu, I tahu. Pasukan you akan bertanding dalam Piala Malaysia untuk musim baru, kan?” Keningnya sedikit terangkat dan menggangguk-anggukkan kepalanya untuk mendapatkan kepastian.

“Tak,” Aku menggelengkan kepala untuk menolak kepastiannya. Dia semakin kebingungan.

“Baiklah kalau susah sangat biarlah I berterus-terang. Tahun ni I akan bawa berjumpa dengan kedua-dua orang tua I, I ingin melamar you, you sudi tak?”

“Ish…..! Ke situ pulak perginya. You yang selalu sibuk dengan bola dan sekarang ni tiba-tiba ada masa pulak untuk jumpa dengan orang tua I?”

“Tak, I serius ni,”

“Betul you serius ni?”

“Hai, you ni macam baru kenal I dua tiga hari je. Semua rahsia, kenangan dan masalah kita kongsi bersama, takkan perkara ni I nak sembunyikan jugak daripada you?” sambungku. Lin cuma tersenyum dan senyuman itulah yang memberikan jawapannya. Dan kali ini aku tidak perlu lagi meneka jawapan itu.

Dihatiku kini tersemat pula satu perasaan yang sukar dibayangkan walaupun cukup senang untuk diucapkan dengan perkataan. Ucapan seperti sukar untuk dijadikan lukisan sebagai potret hiasan didinding-dinding. Namun dihatiku kini berbunga sebuah harapan, berhasrat untuk menjalin tali pertunangan pada tahun ini sebelum Piala Dunia di Perancis bermula pada bulan Jun nanti. Tahun ini juga sejarah mungkin akan menjadi milik aku apabila menyaksikan perebutan Piala Malaysia untuk musim baru seterusnya.

(Bersambung pada 28 September 2007)

2 Comments »