Bab 5

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang tersergam di depan mata menyambut kedatangan. Sebaik mencari ruang parkir terbaik, aku menghempaskan diri aku seketika di kerusi kereta. Sesekali terdengar sayup-sayup dentuman guruh dilangit menandakan amaran. Senja yang menyinsing dari arah barat menenggelamkan warna lajuardi langit itu. Lama-kelamaan urisan warna jingga senja mula mengusam dari pandangan. Hari mula kelam membuatkan aku untuk terus meluru keluar dari kereta. Sempat pula aku menyeluk saku. Tak sengaja pula aku terbawa kotak cincin pertunangan itu.

Bila aku menghampiri pintu masuk utama E, mata mula-mula sekali tertangkap pada iklan tawaran promosi BELI 10 TIKET DAPAT 1 TIKET PERCUMA yang masih tidak ditanggalkan di kaunter tiket sejak perlawanan semalam. Aku terus saja melajukan langkah dan menggugah-gugah pagar besi di kauter tiket itu untuk cuba memecah masuk ke dalam. Mangga yang mengunci pada mulut pagar itu cuba diungkai. Hampa tidak berjaya. Setelah itu aku mengheret diriku ke satu pintu masuk alternatif di sebelah kanan. Aku mendapati pintu itu tidaklah sebesar pintu di kaunter tiket itu, tetapi saiz pintu besi yang tidak menutupi separuh ruang masuk itu membolehkan sesiapa sahaja memanjat masuk ke dalam. Apalagi pagar yang kukuh itu kupanjat lalu masuk ke dalam bila kurasakan gelagat aku yang mencurigakan itu tidak diperhatikan oleh sesiapa. Aku menyegerakan langkah apabila terpandang satu terowong yang menghala ke arah muka padang. Aku terpaku seketika di sepanjang trek padang memerhatikan kawasan stadium yang begitu luas. Entah siapa yang meletakkan sebuah bakul beranyamkan rotan usang yang ditimbuni puluhan bola sepak terperosok di sebalik dinding. Barangkali pekerjanya terlupa untuk menyimpan bola tersebut selepas tamat latihan. Diheretnya bakul besar itu ke tengah padang dan lantas menyelerakkan bola itu. Bunyi guruh dilangit semakin garang kedengaran dan sesekali terasa kesunyian di stadium itu seakan-seakan terngiang-ngiangkan kegamatan sorak-sorai yang menghidupkan suasana di stadium malam tadi.

“Go….! Go…! Go…Selangor! Go…! Go…! Go…! Selangor!”

Sorakan gemuruh daripada penonton meriuhkan suasana di stadium. Penonton dan stadium memang tidak dapat dipisahkan. Ia sememangnya menjadi teman setia berkongsi menyaksikan pelbagai sejarah yang tercipta di atas pentas perlawanan sukan terhebat di dunia itu. Lampu limpah secara automatik menerangi seluruh stadium yang menyilaukan muncul di optik mata. Para penyokong memberi semangat membina keyakinan, lantas kibaran bendera gergasi Selangor melayang-layang di ruangan udara. Jeritan bertalu-talu berlarutan mengegarkan stadium, sesekali terdengar laungan penonton dari arah belakang pasti saja ditangkap oleh gegendang telinga.

“Razif…! Razif…! Razif…!”

Azrani Ahmad, Jovial Johan, Yaser Mohammed, Christopher Wyatt, Ismail Mohd. Isa, Ashraf Hanafi dan pemain skuad Selangor yang lain masing-masing mengambil posisi untuk bersiap-siap menentang lawan. Terasa seolah-olah perlawanan yang berlansung semalaman harinya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan sambil mengenyeh-ngeyeh kedua anak mata untuk mempastikan keadaan sebenar. Memang aku sudah berada pada perlawanan malam tadi! Perlawanan menentang pasukan tuan rumah Kuala Lumpur! Tak mungkin! Tak mungkin aku akan balik semula ke zaman lampau seperti cerita dalam filem-filem fantasi Hollywood. Alangkah baiknya jika aku dapat berbuat demikian. Tentu saja aku akan mengubah sejarah perlawanan Piala FA dan kekalahan untuk skuad Kuala Lumpur boleh saja direkacipta serta kemenangan sudah pasti berpindah milik pada Selangor.

“Piweeettt……….!”

Tiupan wisel memaksa perlawanan untuk bermula. Bola kelihatan terguling-guling di atas padang yang berpermaidanikan rumput buatan. Aku mula menggelecek bola untuk disumbatkan ke dalam gol sambil fikiran aku melayang jauh, tergambar satu bayangan perasaan yang seolah-olah aku berdepan dengan perlawanan realiti. Aku terus membawa bola dengan Azizan Mohd Kamal cuba mengekori dari belakang sehingga Ravi Subramaniam tiba untuk menghalang. Aku menarik bola ke belakang dan menewaskan kedua-duanya. Aku kini hanya berdepan dengan Khairil dan Ravi Subramaniam masih cuba mengekoriku. Aku seolah-olah dikepung oleh pemain Kuala Lumpur itu dan seperti tidak dapat meluru ke arah bertentangan. Aku meluru keluar dan cuba mengawal bola dengan Azizan pula melakukan rempuhan dari belakang tetapi ia sudah lewat, dengan sungkitan terakhirku menggunakan kaki kiri aku menolak bola ke jaring gol.

“Gol…………..!!”

Aku terus bermain dengan fantasi. Tendangan pertama membolos jaringan. Tendangan kedua. Gol…..! Tendangan ketiga. Gol lagi….! Tendangan keempat. Aahhhh…..sayang, bola terpantul semula terkena tiang. Tendangan kelima. Gol…! Keenam. Gol….! Ketujuh. Gol…! Dan seterusnya…Alangkah baiknya jika hidup aku semudah ini. Tentu saja seratus gol dapat dihasilkan hanya dalam sekelip mata.

Aku merebahkan diri ke lantai padang dan menghela nafas panjang setelah agak lama melayani perasaan. Kedua-dua belah tangan mengalas kepala, aku melengung seketika memerhatikan ke arah langit yang diterangi bintang. ‘Lampu semulajadi’ yang tergantung ditahta langit masih mampu menyuluhi bumi. Masih setia menghidupkan suasana romantik malam. Masih lagi tidak berganjak daripada paksinya. Malah jutaan bintang yang bertaburan itu lebih banyaknya daripada pasir yang ada di bumi ini. Begitu indahnya alam ciptaan Tuhan yang masih belum mampu ditandingi kekuasaanNya. Indah lagi jika setiap gugusan bintang itu disambungkan membentuk buruj-buruj yang geometrik. Aku rasakan perjalanan hidupku juga seperti bintang yang dimaksudkan itu. Bintang di atas sana memakan masa berkurun untuk terkumpul menjadi buruj-buruj yang sempurna, sama seperti usaha aku selama mengatur perjalanan meraih sebuah piala kehidupan. Selama beribu-ribu tahun manusia telah memberi nama kepada gugusan bintang yang membentuk corak tertentu. Buruj yang berubah mengikut musim, waktu dan kedudukan itulah yang menjadi pegangan hidup bahawa setiap nasib dan tuah itu semestinya berubah-ubah atas dasar usaha yang dicurahkan.

Sekali imbasan pandangan, satu gugusan bintang yang bercantum di antara satu gugusan yang lain maka terbentuklah buruj Aries yang berimejkan kambing biri-biri, seolah-olah seperti datangnya waktu tidur yang memaksa untuk berkira-berkira bilangannya satu persatu. Terbentuk pula buruj Cancer seperti ketam yang tidak lengkap sepenuhnya. Menjelma pula Taurus yang berimej lembu yang putus-putus. Terpegun pula dengan ngauman garang singa berstatus Leo, lantas berubah pantas dengan Sagittarius yang kelihatan seperti pemburu yang separuh badannya manusia dan separuh lagi berkaki kuda sedang memanah leka, dan terakhir buruj yang sempat terbentuk pula ialah sungguh memeranjatkan! Imej wajah Lin yang kelihatan tersenyum sangat meleret itu terlayar pada kaca mata aku!

“Razif ..!Razif..! Zif..!”

“……….!”

“Hei….! Ni I lah Lin. Bukannya mimpilah. Berangan pulak dia,”

“Eh! Lin. Apa yang you buat kat sini?” Bingkas saja bangun dari terbaring melentang, serentak kaki yang terlujur mengubah posisi.

“Ini bukannya kali pertama I dapat cari you. Kali terakhir you ceroboh Stadium Shah Alam bulan lepas dan sampai I yang kena back-up you waktu you kena cekup dengan guard masa tu. Kali ni apa pulak? You nak kena tangkap dengan polis pulak ke?”

“Tak perlu tunggu polis, cukuplah you dahpun tangkap I kat sini,” Aku sengaja memaculkan alasan yang tidak begitu mengukuhkan. Tapi kadang-kadang aku malu juga dengannya. Walaupun aku tahu dia begitu mengambil berat tentang diriku sekalipun dia terpaksa menggadaikan etika kerjanya semata-mata kerana aku bertindak bodoh. Hanya dengan menggunakan keistimewaan dan kuasanya sebagai Penolong Pegawai Kementerian Belia dan Sukan, dia dengan mudahnya melangkah masuk ke dalam stadium ini. Tidak seperti aku yang perlu memanjat dan menceroboh masuk seperti perompak.

“Apa guna I dapat tangkap you tapi you masih menceroboh stadium ni lagi? Razif cuba you ceritakan apa masalah you ni sekarang ni? I dah call you banyak kali tapi you offkan handset. Dan bila I tanya Ismail dan dia beritahu I yang you tak datang meeting hari ni. Kenapa Zif? Apa masalah you sebenarnya?” Aku hanya menunduk ke bawah.

“Masalah? You nampak muka I ni macam ada masalah ke?”

“Dan I tahu bila you ada masalah you akan pergi ke stadium yang sama selepas perlawanan. Dan itulah yang selalu you lakukan bila kalah dalam perlawanan,”
“Dan itu jugaklah yang you akan lakukan bila kehilangan I, bukan?”

Lin tidak pula tersenyum seperti selalu. Kali ini riak mukanya betul-betul menunjukkan dia begitu berang dengan aku. Tetapi marahnya tidak lama. Emosinya tidaklah begitu tercuit bila mengenangkan perbuatan aku itu. Dan dia juga tidaklah tegas sepertimana dia tegas di pejabatnya. Dia akan kembali tenang bila berada disisiku. Semua api kemarahannya akan terpadam bila berada di sebelahku. Itulah kelemahannya. Lalu dia tidak mahu mengambil masa yang lama untuk duduk di sebelahku dan seraya meneruskan perbualan.

“You datang ke sini kerana sudah kehilangan arah tujuan. Seperti seolah-olah you dahpun kehilangan sesuatu. Itulah sebenarnya yang you lakukan. Dan bukannya sebab yang lain,”

“Memang benar. Ya, I ke sini kerana telah hilang arah tujuan. Dan di sini I dapat petunjuknya,”

“Ha?” Lin mengerut dahinya, serentak mengerling ke arahku.

“Lin, pernahkah you terfikir…pada satu hari tiba-tiba kita tersesat dalam hutan pada waktu malam. Tak ada langsung jalan keluar. Tak ada petunjuk dan kita tak tahu ke mana harus kita pergi..” Lin masih membisu. Melihatkan dia begitu, aku terus menyambungnya. “..Sebenarnya, petunjuknya ada di atas sana. Jika kita telah sesat dalam hutan, cara terbaik untuk mencari jalan keluar ialah dengan mengesan bintang bersilang yang membentuk buruj Crux yang dapat menentukan kedudukan kita ke arah selatan. Ia seperti kompas semulajadi. Dengan itu, kita dengan mudahnya dapat menemui jalan keluar.” Aku kembali menghempaskan badan di atas padang yang luas itu dengan mengalas kepalaku dengan kedua-dua belah tangan. Lin turut mengikut berbaring di sebelahku. Di sekeliling kami bola berselerak di sana-sini. Terasa dingin pula pada malam itu, sedingin hati aku yang sedang berkata-kata itu.

“Sebenarnya masih banyak lagi bintang yang membentuk buruj-buruj tertentu yang kelihatan dalam satu gugusan dari Bumi. Sebenarnya jarak kebanyakan bintang itu sangat jauh antara satu sama lain. Sebutir bintang walaupun pada zahirnya kelihatan kecil tetapi besarnya adalah sebesar alam yang kita duduki sekarang ini. Bintang di atas sana tu masih lagi dapat menerangi walaupun dalam kegelapan malam. Tetapi you masih lagi tercari-cari sinar dalam kegelapan. Sebutir bintang yang belum ada kemahsyurannya walaupun memiliki cahaya yang berseri,”

“Sebenarnya berjuta bintang yang di atas sana tu banyak memberi berjuta makna pada I. Bintang itu adalah semangat I. Mimpi I. Dan panduan I yang dalam kesesatan selama ini,”

“Kita tidak akan sesat jika kita tahu di mana ia harus bermula dan bukannya di mana ianya berakhir. Bintang itu tetap ada, dan tetap bercahaya. Masih belum terlambat untuk memperolehi sinar baru itu. Percayalah, bintang itu akan menemui kemahsyurannya. Selagi peminat masih menyokong you dan selagi kita percaya, kita akan memilikinya satu hari nanti. Dan yang penting I juga sentiasa menyokong you sama seperti peminat you yang di luar sana tu. Walaupun apapun yang terjadi, I tetap akan berada di sana untuk melihat kejayaan you,” Wajahnya masih tidak lekang dari senyuman. Lalu aku menyambar tangannya dan lantas menggenggam mesra; sempat pula dikucupku buat beberapa kali.

Mendengarkan kata-katanya itu, lantas saja menjelma kembali bentuk buruj Sagittarius, makhluk yang badannya separuh manusia dan separuh berkaki kuda itu sudahpun melepaskan anak panahnya yang tersasar jauh tiada berpenghujung, muncul bertandang khayal di benak fikiranku.

“Terima kasih Lin kerana berada di sisi menyokong I. Akan I bawa cinta ini hingga ke tengah padang. Dan semangat ini hingga ke hujung jaringan gol,”

“Ya, bawa cinta ini hingga dapat jaringkan gol nanti. Dan dengan itu semangat I akan sentiasa berada di sana. Janji dengan I bahawa you dapat hadiahkan I satu jaringan gol. Itulah impian I selama ini. Ingat! Gol emas tau!” Lin ketawa kecil dan masih lagi ada masa untuk bergurau.

“I janji akan I sempurnakan impian you itu. Tapi…I rasa kita patut sempurnakan impian kita ni dulu,”

“Ha? Impian apa?”

Namun dihati ini masih lagi tersimpan satu impian. Impian yang bakal di sempurnakan sebentar nanti. Di dalam kocek seluar itu ku cuba seluk, dan itulah impian yang masih belum ditunaikan.

“Ni dia..!”

“Ha…? You pasti ke apa yang you buat ni?”

“Kenapa you tak pasti ke?”

“Tak..bukan tu maksud I. I…I semacam tak percaya semua ni,”

“Okey, mari sini I buatkan you percaya,” Terus saja cincin bertahtahkan berlian itu disarungkan ke jari manis Lin. Kini harapan sudahpun bersemi. Lin terdiam kaku lalu tersenyum. Dan kali ini senyumannya itu tidak menghampakan. Kegembiraan jelas terpancar diwajahnya. Kejutan aku itu beitu menyentuh perasaannya. Lalu, dia memeluk batang tubuhku serentak menyandar manja di atas dadaku. Stadium yang luas menjadi saksi ikatan itu.

Guruh yang kedengaran dari tadi telahpun gugur sebagai hujan. Aku dan Lin sama-sama berdakapan erat kegembiraan dalam keadaan berlenjumkan hujan, semakin dapat meredakan kegusaran dihati. Sama-sama berharap agar impian akan menjadi kenyataan. Hujan turun merenyai-renyai yang diselangi dentuman guruh kecil, terus mencurah kasar mula mengaburkan pandangan mata. Dengan kekuatan tangan yang ada ketika itu, aku dengan tidak sengaja melayangkan badan Lin ke udara dalam keadaan berpusing buat beberapa tika. Lin menjerit nyaring tanda gembira dan sesekali dia meminta untuk diturunkan, namun tidak aku hiraukan. Keadaan padang kelihatan berselerak dengan taburan bola di merata-rata tempat, diiringi dengan deruan arus hujan yang deras terus menghidupkan suasana romantis.

(Bersambung.. 13 November 2007)

2 Comments »

Bab 4

Persatuan Bola Sepak Selangor
Bilik Mesyuarat
10.20 pagi

Ismail kelihatan gelisah. Sesekali matanya sering tertumpu pada jam di dinding yang menunjukkan tepat pukul 10.20 pagi. Sekejap ternanti-nanti, tertanya-tanya dan sesekali memandang semula ke arah jam di dinding lagi. Tidak senang duduk dibuatnya. Jari-jemarinya hanya memainkan pen. Dibiarkan pen itu menari di atas meja mengikut rentak sumbang yang entah apa melodinya. Sebenarnya reaksi Ismail itu bukan sahaja dapat dirasakan olehnya seorang, malah semua pihak yang sememangnya mengenali Razif Rahman yang dianggap lebih daripada sahabat sendiri. Malah semua orang tahu, semua orang tertunggu-tunggu kemunculan Razif yang mula membuahkan pertanyaan dikalangan rakan sepasukannya. Dia bukan sahaja rakan yang hanya semata-mata menyertai Selangor sebagai pemain, bukan juga rakan ketika dipadang atau perlawanan; bukan pula rakan yang hanya duduk semeja untuk membincangkan sesuatu agenda ataupun mungkin juga bukan rakan yang berjaya membawa tuah dengan sekali tendangan ke gol mencipta kemenangan, malah lebih daripada itu.

Barisan di meja persidangan mesyuarat itu sudahpun dipenuhi sekumpulan ahli-ahli dan pegawai-pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Selangor dijemput khusus selain melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia sebagai satu kuasa besar yang berpengaruh dalam menentukan pembentukan sukan bola sepak tanahair. Barisan meja dihadapan sudah tentu dikhaskan untuk pegawai terpenting yang mengemudikan skuad yang terdiri daripada Datuk Taharuddin Mohammad Talib diikuti pula K. Vivekanathan yang bersebelahan dengan jurulatih yang cukup disegani oleh anak-anak buahnya, Kent Wilson berada di hujung sekali. Manakala pasukan Selangor pula berada bertentangan dikiri dan kanan barisan meja pada kedudukan yang paling memuaskan.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Baiklah, perbincangan kita hari ni akan lebih ditumpukan pada persiapan pasukan kita untuk Piala Malaysia yang akan berlansung tahun ini. Rasanya kita tidak boleh melengah-lengahkan perkara sebegini kerana segala persediaan itu perlu dikaji dan diteliti secara terperinci dari awal supaya kita dapat mengelakkan segala masalah yang akan berlaku nanti. Saya berharap kekalahan Selangor semalam akan terus mengajar kita di masa-masa hadapan. Saya…saya faham kamu semua sudahpun berusaha bersungguh-sungguh untuk perlawanan semalam, tetapi kamu semua janganlah berasa kecewa walaupun kita tidak dapat mara untuk final Piala FA. Walaupun kekalahan semalam itu memang meninggalkan detik hitam dalam sejarah skuad kita, namun kita akan terus mencuba nasib dalam perlawanan yang lain. Kita ada beberapa lagi perlawanan yang masih boleh kita sertai. Dan saya tak nak kamu buat kesilapan lagi dalam Piala Malaysia nanti. Oh..! Hampir terlupa pula saya. (Terhenti dan lantas mencapai kertas jadual dalam failnya lalu meneliti semula.)

Berkenaan dengan penyertaan kita dalam Piala Malaysia tu, beberapa perkara telah dirombak sedikit. Sebelum kita melangkah ke Piala Malaysia, kita akan menghadapi beberapa perlawanan yang lebih awal lagi seperti Perlawanan Sumbangsih pada sekitar bulan April dan Liga Perdana sekitar bulan Jun. Dan jika ditakdirkan kita benar-benar layak untuk masuk ke peringkat suku akhir Piala Malaysia tu nanti, kemungkinan besar Piala Malaysia tu akan jadi milik kita. Kamu bukan sahaja akan menang piala, tetapi juga setiap pemain akan menerima ganjaran antara RM5,000 hingga RM27,000 setiap seorang. Bayaran intensif itu akan dibuat berdasarkan seniority pemain dan jumlah permainan yang disertai. Kamu juga akan berpeluang untuk melancong ke Uzbekistan dan setiapnya akan dihadiahkan sebidang tanah atau mungkin digantikan dengan sebuah rumah jika tiada tanah kosong. Tapi jika skuad kamu tidak menunjukkan apa-apa sebarang pencapaian yang memuaskan dalam perlawanan Liga itu kemungkinan besar pasukan kamu awal-awal lagi akan diturunkan ke Perdana Dua. Jika kamu tak nak perkara itu berlaku, jadi tunjukkanlah permainan bermutu dan main bersungguh-sungguh semasa perlawanan tu nanti. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada awak semua. Siapa lawan siapa itu semuanya bergantung kepada corak perlawanan sesebuah pasukan yang bertanding pada malam itu. Tapi yang pasti skuad kita akan bertanding dengan mana-mana pasukan daripada kumpulan Liga Perdana Satu, sebagaimana yang menjadi tradisi perlawanan tahunan sebelum ini sebab kita belum tahu kedudukan kita yang sebenar dalam Liga tersebut. Saya menaruh harapan yang tinggi pada kamu semua dan saya tak nak kamu semua buat kesilapan lagi selepas ni. Ingat! Piala Malaysia adalah kemuncak segala piala dan saya nak kamu semua menawan kemuncak itu.

Azrani Ahmad:
Kalau begitu ..bila pula training untuk skuad kita akan dimulakan, Datuk?

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Oh..Pasal perkara tu..saya serahkan kepada jurulatih Kent Wilson. Sebab semua perancangan yang berkaitan dengan latihan telahpun diaturkan oleh Kent Wilson sendiri. Beliau akan menerangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara itu. So Mr. Wilson, can you please explain more about that training?

Kent Wilson:
Thank you, Datuk. Concerning that training, I have already discussed with M. Selvaraju also from Datuk, for preparing some new strong strategy particularly for training on the field. I too will stress more on your tactical and mental training which will take place at the PKNS field or most likely at the Stadium Shah Alam as well as we do mostly. And concerning the choice of your place of training, I still not sure because it is more likely that the places where I have mentioned earlier will be taken over by other team. So, I will try to get the place much earlier than the expected date. And you Ismail, as the chief of this squad..you should remind your boys regularly, so that they can gather with all the players during the training later.

Ismail Mohd Isa:
Yes, Mr. Wilson. I will.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Baiklah, berbalik kepada perbincangan kita tadi. Selain perkara yang menyentuh tentang persiapan skuad kita menjelang semua perlawanan itu nanti termasuklah persediaan yang berkaitan dengan training, lagi seperkara yang ingin saya tekankan di sini ialah masa depan untuk skuad Selangor dalam jangkamasa panjang. Kita memang tidak menjangka sebarang kemungkinan yang akan berlaku nanti. Jadi, oleh itu pemilihan pemain-pemain untuk skuad kita juga adalah penting. Walaupun kita mempunyai ramai pemain yang handal di kalangan kamu semua seperti Azrani Ahmad, Ismail Mohd Isa dan Jovial Johan serta termasuk pemain import yang sedia ada, tetapi ia masih belum mencukupi. Kita perlukan lebih ramai pemain yang berbakat dan berpotensi sebagai pelapis untuk skuad kita jika kita mahu meletakkan skuad kita di antara yang terhandal sebaris dengan skuad yang lain. Pihak kami juga akan singkirkan pemain yang kurang bersemangat untuk bermain dalam pasukan kita ini. Ingat..! Kita bukannya dalam mimpi sekarang ni. Kita bukan lagi skuad terbaik lima, enam tahun ke belakang. Tapi skuad yang semakin merosot lima, enam tahun terkehadapan. Kalau dulu kita boleh berbangga dengan segala pencapaian yang dikecapi oleh Selangor dulu. Tapi..sekarang semua tu dah berubah, Selangor mungkin berada pada tahap yang paling ke bawah jika masih tiada sebarang perubahan dilakukan. Ini penting kerana ia akan menentukan layak atau tidaknya skuad kita ke akhir Piala Malaysia itu nanti.

K. Vivekanathan:
Ya! Ya! Saya setuju dengan pendapat Datuk itu. Selangor kini bukanlah skuad yang terbaik lagi. Jika kita lihat pendekatan itu dengan merujuk kepada kekalahan kita semalam amat jelas menyedihkan. Skuad yang paling lemah seperti Kuala Lumpur pun boleh kalahkan skuad terhandal seperti kita. Ini sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan merupakan satu perubahan yang sangat tidak memuaskan hati saya. Mutu persembahan kamu malam semalam juga tidak begitu meyakinkan. Kesungguhan dan keazaman tidak ditunjukkan dalam diri kamu semua, seolah-olah tidak bersemangat lansung. Ini jelas mengecewakan hati saya. Jika beginilah rupanya, bagaimana pula nanti pencapaian Selangor pada tahun depan? Alamatnya, nasib kita mungkin seperti perlawanan yang berlansung semalam. Saya harap kamu semua tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Azrani Ahmad:
Em..em..Datuk..saya..saya..

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Ya, Azrani? (Keningnya terangkat bila memandang muka Azrani.)

Azrani Ahmad:
Em..Datuk saya ada satu cadangan.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Apa cadangannya?

Azrani Ahmad:
Berkenaan dengan pemilihan pemain-pemain baru saya begitu setuju jika ia dilakukan secepat mungkin dan singkirkan pemain yang kurang bersemangat. Saya fikir kita dah nampak siapa diantara kami yang kurang menunjukkan minat untuk bermain. Ini penting untuk pasukan kita kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan prestasi skuad kita.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Iya, teruskan.

Azrani Ahmad:
Tapi selain pemilihan pemain dibuat, saya mencadangkan agar formula ‘membeli kejayaan dengan wang’ yang pernah mengharumkan nama Selangor sebagai kuasa bola sepak negara suatu ketika dulu dilakukan semula bagi mengembalikan maruah pasukan kita.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Menarik cadangan awak tu. Maksud awak yang dikatakan dengan formula ‘membeli kejayaan dengan wang’ itu? (Semua orang berpaling ke arah Azrani. Dia bukan sahaja berjaya mengalihkan perhatian Datuk tetapi rakan-rakan sepasukannya yang lain. Pendapatnya itu juga membuatkan pegawai-pegawai yang lain tertarik untuk tidak terus berganjak daripada kerusi.)

Azrani Ahmad:
Formula yang saya maksudkan itu ialah membeli ramai pemain ternama. Kita gagal merealitikan impian beraksi di kancah Liga Malaysia tahun lepas walaupun skuad kitalah yang paling ramai menguasai pasaran pembelian pemain. Kita tetap belum mampu untuk menyamai senario pada era tahun 70-an dan 80-an. Sepanjang era terbabit, Selangor sering dianggap skuad kebangsaan kedua kerana hampir semua tonggak negara menyarung jersi Merah Kuning sekaligus menyebabkan kita sentiasa mengucup trofi Piala Malaysia.

K. Vivekanathan:
Iya, memang benar kata Azrani tu, Datuk. Saya setuju dengan cadangannya yang kreatif ini. Saya tengok ada pasukan tertentu yang rancak amalkan cara ini. Mereka beli ramai pemain terkenal dan hasilnya mereka jadi juara. Cara ini bukannya asing untuk kita. Kita pernah amalkan cara ini dulu. (Tiba-tiba Azrani mencelah semula.)

Azrani Ahmad:
Dulu boleh dikatakan hampir semua pemain terbaik di Malaysia adalah pemain Selangor. Pada era 70-an Selangor boleh dianggap skuad kebangsaan. Pada waktu itu, kita ada Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, K Rajagopal, Ramli Junit dan ramai lagi. Pada era tahun 80-an dan awal 90-an pula nama pemain seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Ismail Ibrahim, K Sanbagamaran mahupun Azman Adnan adalah ayam tambatan Selangor. Pemain import yang pernah menabur bakti bersama Selangor ialah bekas penyerang kebangsaan England, Tony Cottee; pemain Arsenal, Chris Kiwowya dan beberapa tonggak dari Australia termasuk Dave Mitchell serta Mehmet Durokovic. Bekas penjaga gol Czechoslovakia yang pernah beraksi dalam Piala Dunia, Karel Stromsik pula pernah menjadi buah hati sehingga hampir bersendirian membantu Selangor muncul juara Piala FA pada 1991 sesudah menewaskan Perak 1-0. Jelasnya, Merah Kuning adalah pasukan yang sering dicemburui pada empat alaf berbeza bermula pada era 60-an kita diungguli oleh kehebatan Datuk Ghani Minhat, Chow Kwai Lam, Arthur Koh dan sepanjang detik itu ramai pemain tempatan dan import terkenal sudah menyarung jersi Selangor. Tetapi kini zaman sudah berlalu dan Selangor tampak belum bersedia untuk mengulangi era kegemilangannya dengan cara ‘membeli kejayaan’.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Bagus cadangan awak tu. Saya akan bincangkan perkara ni nanti dalam mesyuarat akan datang. Ya, kenapa kita tak pernah fikirkan perkara ni awal-awal lagi. Kenapa kita tak beli pemain handal yang boleh menaikkan nama Selangor? Kenapa kita asyik nak beli pemain mentah? Lebih baik kita beli pemain yang sudah ada nama dan bagus beraksi. (Katanya dengan nada positif.)

Azrani Ahmad:
Em..saya rasa kita sudah nampak siapa yang harus kita singkirkan. Tak perlulah saya memberitahu siapa orangnya.

Ismail Mohd Isa:
(Dia yang mula menyedari niat sebenar Azrani itu lantas mengubah topik perbincangan lain.) Datuk, walaupun cadangan Azrani itu adalah satu cadangan yang baik tapi saya berharap ia perlulah dibuat secara berperingkat-peringkat dan berhati-hati supaya dalam masa yang sama pemain yang mempunyai potensi sedia ada tidak disingkirkan juga. Tak perlu lagi kita mengambil pemain baru untuk menggantikannya. Jika pemilihan pemain baru itu dilakukan juga, saya fikir biarlah ia dibuat untuk menyingkirkan pemain yang betul-betul tak bersemangat untuk bermain. Sekarang ni, kita belum lagi nampak apa-apa lagi pencapaian mereka buat masa ni, tapi untuk jangkamasa panjang, saya begitu yakin dengan kebolehan anak-anak buah saya. Lagipun mereka masih baru lagi dalam skuad kita ni.

Azrani Ahmad:
(Dia terus saja mendiamkan diri, sempat pula mengerling matanya dan merenung tajam ke arah Ismail. Buat-buat pula berdehem.)

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Terima kasih Ismail tentang pendapat awak tu. Jadi awak ada apa-apa lagi, Ismail? Azrani? (Mereka berdua tidak pula bercakap apa-apa. Hanya menggeleng-geleng kepalanya. Azrani pula sempat menongkat dagunya, buat-buat tidak tahu.) Baiklah, Selvaraju? Ada apa-apa lagi? Mr. Wilson, do you have anything to say?

Kent Wilson:
Em..another thing which I wish to impart is about the prospect of Selangor which should not be of concerned anymore. Don’t ..don’t worry about that. All the problems which had been imparted by Datuk earlier is in my mind since the beginning. I have already discussed with the FAS official in order to acquiring many new players to play with our squad apart from the reserved players. It is more likely the imported player maybe from Australia or England which will replace the present player, Christopher Wyatt which terminates his contract at the end of this year. But since, Malaysia no longer buy the imported player for the next year, so that we can keep our budget safe.

Yaser Mohammed:
Well, Mr. Wilson, so my service will likely not wanted anymore if I go through the same situation?

Kent Wilson:
Maybe. But for the time being, your service is still wanted in our squad as it is now. We regard your as part of our family in this squad. According to your contract you still have one year more. When Christopher Wyatt has gone back to Australia for this end of the year, you will get a new friend as a buddy soon. Don’t worry about that. Neverthless with the experience you have, you also can be synchronized to improve your pattern of play. And for our squad it is able to share the skills and specialized with one another. But if FAM has approved that suggestion, well…we’re sorry..and we have to send you back to Magrabhi.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
So, Mr. Wilson, do you have anything that you would like to discuss anymore?

Kent Wilson:
(Berfikir panjang.) Oh..! wait there is one more thing. This is maybe a sad news for you all. (Menghembuskan nafas panjang.) I will end my contract with Selangor next month. But I hope this news is not going to make you shock at all. Nevertheless, my service will be replace by the new coach that have more experience than me. And this problem always happened to all imported coach that do their job in Malaysia.

Ismail Mohd Isa:
I as the chief of the team, we wish to express many thanks to you, Mr. Wilson since the time that you were leading us. Your sacrifice and dedication will be our strength. And we hope you always be success in whatever job you do.

Kent Wilson:
Thank you. Thank you very much, Ismail.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Baiklah, ada apa-apa lagi pertanyaan berhubung dengan perbincangan tadi. Jika tidak ada apa-apa soalan lagi, nampaknya sampai di sini sahajalah meeting kita pada hari ini. Dan yang lain semua boleh beredar sekarang, kecuali Ismail awak stay kat sini sekejap. Sekian, terima kasih semua kerana hadir. (Semua hadirin beredar keluar.)

Ismail Mohd Isa:
Saya..saya, Datuk? (Tercengang sambil mengarahkan jari telunjuknya ke arah dirinya sendiri.)

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Ya..awaklah siapa lagi yang saya maksudkan? Duduk.

Ismail Mohd Isa:
Ya apa halnya Datuk? (Kembali melabuhkan punggungnya ke kerusi lalu menyandar selesa.)

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Em.. Ismail, awak tahu kenapa Razif tidak hadir untuk mesyuarat hari ini? Awak tak inform kepadanya tentang ni?

Ismail Mohd Isa:
Tidak, Datuk. Saya sudahpun maklumkan kepadanya semalam. Tapi..tak tahulah saya kenapa dia tak hadir hari ini. Mungkin dia ada hal. Tapi kalau ada hal sekalipun… selalunya dia akan informkan pada saya terlebih dahulu. Biasanya dia tidak pernah lewat atau tidak menghadiri sebarang perjumpaan sebelum ni, ataupun kalau dia sakit sekalipun dia akan memesankan kepada saya.

Datuk Taharuddin Mohammad Talib:
Baiklah, Ismail. Terima kasih. (Ismail beredar pergi.)

Datuk Taharuddin yang masih disisi meja bingkas bangkit daripada tempat duduknya setelah mengemaskan kertas-kertas dan fail-fail pentingnya yang berselerakan di atas meja.

(bersambung pada 30.10.2007…)

No Comments »