Bab 9

Keceriaan selalunya mengisi kesunyian dibilik persalinan itu. Hilai ketawa berdekah-dekah yang ditimbulkan pasti saja datangnya daripada kalangan pemain-pemain yang duduk berkumpul membincangkan topik-topik semasa, riuh-rendah dengan aksi kelelakian mereka. Masing-masing mempamerkan kegagahan di hadapan rakan-rakan yang setia berkongsi peribadi. Masing-masing menunjukkan kehebatan hilai. Sedang asyiknya berjenaka dan berbual-bual kosong, kehadiran aku dan Effie mengejutkan mereka, serentak terus ke pintu lokar.

“Ha, Zif. Ada orang bagi kau bunga kat atas sana tu. Mungkin daripada Lin. Huh, jealousnya aku tengok kau orang berdua couple. Bukan macam aku. Aku ni tak handsome. Tapi sekurang-kurangnya aku tak menyesal. Walaupun aku tak handsome, aku masih lagi ada orang nakkan aku. Bukan macam orang tu…” Suasana di situ menjadi gamat semula dengan hilai ketawa oleh rakan-rakannya bila Ahmad Nazri Misran mula menyindir Effie.

Sesampai sahaja di sana, aku mendapati sejambak bunga di atas bangku kayu yang dihantar khas di atas nama aku. Belumpun sempat aku melihat siapa penghantarnya aku terus mencium bau bunga ros merah yang masih segar itu. “Hei, apa yang kau orang gelakkan ni? Tak habis-habis lagi cerita? Apa yang seronok sangat tu tak tahulah,”

“Tak, Zif. Tapi cerita ni..cerita ni kau mesti nak dengar. Kisah benar lagi..” Ahmad Nazri ketawa mengekek-ngekek. Panjangnya berjela-jela. Entah apa yang melucukan sangatpun tidak tahu.

“A..dah sudah..sudah aku tak nak dengar lagi!” Effie menyentak marah.

“Ada orang tu..kau nak tahu tak..dia nak cuba lah tackle seorang perempuan masa makan kat uptown tu. Kau ingat tak Zif masa tu. Ha..tengah asyik makan nasi goreng tu dia tak sedar, sampai dia termakan kulit udang sekali. Ha, cuba tengok aku, senang je dapat awek. Lain kali kalau nak pikat perempuan, pikat dengan bola. Bukan dengan muka. Harapkan muka je lawa, buat apa?” Gelaknya lagi. Tapi kali ini lebih kuat. Suaranya yang selalunya garau agak tenggelam sikit. Dia agak hairan sedikit kerana lawaknya tidak mendapat perhatian aku dan Effie.

“Kenapa ni Effie? Razif? Ada apa-apa yang tak kena ke?”

“Sebenarnya kalau kau nak tahu, kita ada cerita yang lebih besar berlaku di atas padang tadi,” Effie mencelah serentak menarik pintu lokar bahu.

“Ha? Cerita apa?” Wajahnya tiba-tiba berubah.

“Tadi, Aaron dan Cikgu kita bergaduh kat padang tadi. Teruk betul sampai nak saman-menyaman,” Effie hanya bermasam muka.

“Ha, dia orang tu bergaduh pasal apa?”

“Entahlah, kau tanyalah Aaron sendiri kalau nak tahu,”

Belumpun sempat menamatkan perbualan, tiba-tiba Aaron yang muncul dalam keadaan marah lalu menghempas pintu lokar. Impak hempasan itu mengejutkan rakan-rakan lain yang sedang menyalin pakaian di situ. Tidak ada sesiapa pun berani bersuara ataupun mendekatinya lebih-lebih lagi dalam keadaan marahnya masih lagi menyala. Semuanya buat hal masing-masing. Buat-buat tidak tahu seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Aku juga turut tidak mahu masuk campur hal ini. Buat-buat sibuk membelek-belek bunga ros yang dihantar tadi. Kad yang dikepilkan pada bunga itu aku amati. Dalam kad itu tertulis :

Buat Razif tersayang,

Saya amat meminati awak. Harap kita boleh jadi kawan yang baik. Saya
selalu mengikuti perkembangan terbaru tentang awak. I Love You.

Daripada
S.A

“Eh? Nanti..bunga ni bukannya dari tunang aku. Ni daripada siapa ni? SA tu apa?”

“Ha? Mana? Oh SA. SA tu maksudnya secrect admirer. Razif kau jangan terpengaruh pula dengan benda-benda macam ni. Anggap ni satu perkara biasa je,” Hidayat yang secara kebetulan berada di sebelah aku, sempat menyampuk.

“Tapi aku kan dah bertunang? Takkan dia tak tahu pasal tu?”

“Biasalah, Zif. Peminat kalau dah minat pada kita dia sanggup buat apa saja demi memuja orang yang disayangi. Aku pun dah biasa terima benda macam ni. Kalau dia tak dapat kita dia akan bertindak untuk mengancam dan mengugut kita,” keluh Hidayat.

“Dan bukan itu saja. Ada yang lebih teruk daripada tu pulak sampai boleh membawa ke tahap membunuh diri. Inilah yang sering berlaku bila ada peminat yang obses dengan kita. Huh, tak tahulah apa nak jadi dengan dunia sekarang ni,” celah Ahmad Nazri Misran sambil membetul-betulkan kolarnya yang tidak kemas.
Dari sudut yang jauh, tanpa disedari gelagat Aaron itu sedang diperhatikan. Riak wajah Aaron tidak ada sedikit pun ceria. Aaron, pemain kebangsaan baru itu jelas berbangga dengan pencapaiannya untuk dua tiga tahun lagi bermain dalam pasukan Selangor. Setelah ketiadaan Hyder Ali Samidjan kerana telah berhijrah ke pasukan lain awal tahun lalu, dialah yang menjadi penggantinya. Dia tidak pernah kesal bermain bersama skuad itu, tapi apa yang tidak disenanginya ialah Razif. Dia selalu mencari peluang supaya Razif disingkirkan. Dia selalu mencemburui prestasi Razif itu kerana dia selalu mendapat perhatian daripada jurulatih dan rakan-rakannya yang lain. Dan yang lebih menyakitkan hati, tahtanya telah dirampas oleh Razif. Gelaran posisi pertahanan di bahagian sayap kiri telah diambil oleh Razif, dan peranannya kini sudahpun jatuh kepada pemain simpanan yang telahpun ditetapkan jurulatih. Dia diletakkan dalam kelompok pemain simpanan kerana mengikut prosedur jurulatihnya atas alasan dia kidal dan masih belum cukup menjalani latihan serta belum mesra dengan corak latihan di Malaysia.

Tahun ini, bersama skuad Selangor sasaran dendam Aaron adalah Razif Rahman. Alasan cemburunya bukan setakat itu sahaja. Walaupun dia juga mempunyai latarbelakang dan kehidupan yang hampir sama dengan Razif, namun dia tidak boleh menafikan rasa iri hatinya itu terhadap Razif yang sering menjadi perhatian hanya kerana dia adalah adik kepada bintang lagenda itu. Tahun lepas, Raziflah yang juga telah menyebabkan abangnya, Andrian Arman yang juga pemain kebangsaan terbaik di Malaysia, tidak dapat beraksi dalam Selangor kerana jurulatih Shahadat Samad yang mengetuai skuad ketika itu terlebih dahulu membelinya. Akibatnya, abangnya yang pernah bermain untuk Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dulu, kini sedang mengganggur di rumah dan menunggu kelab-kelab dan skuad lain untuk membelinya. Pengaruh abangnya yang besar dalam industri bola sepak membuatkan semua orang menyenanginya. Tetapi tidak bagi Aaron. Dia akan terus buat apa saja asalkan Razif dibuang daripada menyertai Selangor.

“Aku cukup tak puas hatilah dengan si Razif main dalam skuad kita tu. Aku rasa lebih baik kalau FAS singkirkan dia. Dah setahun lebih dia dalam skuad kita tapi main macam budak sekolah,” Dia menyapa selamba Badrul di sebelahnya yang baru sahaja kembali dari shower room. Di hadapan cermin itu, Badrul baru selesai mencuci mukanya dan lantas mengesat-ngesat muka dan rambutnya yang basah itu.

“Hai, kau ni macam tak faham-faham lagi. Dah tentu pemilihan tu dibuat oleh FAS, dan dia orang tu lebih arif tentang ni semua. Kita tak ada kuasa nak jatuhkan atau singkirkan sesiapa. FAS ada kuasa mutlak untuk menentukan pemilihan pemain dan dia juga berhak untuk menyingkirkan sesiapa sahaja yang dia orang suka termasuklah kita, Aaron. Kau mesti ingat tu semua,” Badrul cuba membuka pandangannya seluas mungkin supaya dapat mewujudkan keharmonian di antaranya, kerana ditakuti pula ada niat lain di sebalik kata-katanya itu. Jika adapun niat tersebut, itulah yang cuba diusahakannya supaya sikap perpaduan dapat dilahirkan.

“Ya, aku tahu Badrul. Tapi Razif tu tak bersemangat langsung bila tiba perlawanan. Macam tak bersungguh-sungguh pulak, tak ada komitmen langsung. Kita sepatutnya ketengahkan pemain lain yang lebih baik…yang boleh membawa faedah pada skuad kita. Ni tidak. Membazirkan duit persatuan kita je. Eh..entah-entah dia kena makan rasuah tak?”

“Ya Allah, kau ni! Sampai ke situ pulak perginya. Tak baik kau tuduh membabi buta. Kau ada bukti ke? Ni baru tuduh-menuduh belum lagi tumbuk-menumbuk,”

“Tumbuk-menumbuk? Kalau kau nak tahu, aku dah pun bertumbuk lebih kurang lima belas minit yang lalu,”

“…….?” Badrul terpinga-pinga kehairanan bila mendengar Aaron berkata begitu. Terhenti sekejap daripada mengesat-ngesat rambutnya yang basah. Dia tidak pula tahu-menahu tentang kejadian tadi. Datang pula Ashraf disebelah Aaron. Dia cuba menasihati Aaron tapi jelasnya dia tidak mengendahkannya.

“Aaron, sepatutnya kita tolong-menolong di antara satu sama lain dan bukannya tikam-menikam dari belakang. Kalau ada kelemahan pun kita cubalah tolong dia. Kalau kau ingat kau ada kuasa sangat, kau buatlah apa yang kau suka. Kau tak takut risiko di saman nanti?” sambung Ashraf yang sedang bercukur dihadapan cermin. Badrul yang bersamanya tadi entah bila masa sudah lama lesap.

“Kau ingat aku takut ke dengan gertakan dia tu. Dia mungkin boleh bawa kes ini ke mahkamah atas tuduhan diserang, tetapi peluang untuk dia kena letak jawatan terbuka luas bila aku sendiri yang menghantar surat aduan berkenaan cara dia mengendalikan skuad kita tu kepada FAM nanti. Dia ingat dia tu bijak.”

“Suka hati kaulah, Aaron. Aku tak nak masuk campur. Nanti karang, aku sekali yang akan diheret ke mahkamah,” Ashraf jelas melahirkan rasa kecewa dengan sikap angkuh dan degil Aaron. Dia memang sejak dulu lagi begitu perangainya. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah sikap panas barannya itu.

“Well, kalau macam gitu biar aku yang akan pastikan dia tersingkir nanti,” bisiknya keseorangan di situ.
Badrul beredar keluar dari bilik persalinan, meninggalkan Aaron yang masih terjegat di situ. Terserempak pula berselisihan dengan ketua pasukannya Ismail.

“Ha, apalagi cepatlah berkumpul dipadang. Kalau lambat nanti, bising pulak cikgu kita nanti,”

Ashraf pula yang selesai bercukur, dilihat baru sahaja menyarungkan short hitam Adidasnya. Aaron terus mengheret dirinya membuka pintu lokar, lantas mencapai tuala kecil untuk mengesat peluh yang membintik didahi. Bila menyedari Razif mula menghampiri lokar bersebelahannya, mukanya mencebik penuh bungkam serta-merta dia menghempaskan pintu lokarnya sekuat-kuat hatinya. Aku tercengang dengan wajah merah padam; penuhnya tersemat gelombang radang kemarahan.

(bersambung….. Rabu 09.01.2008)

9 Comments »

Bab 8

Sesi Latihan

Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

11.45 pagi

Skuad Selangor giat menjalani sesi latihan dipadang bagi memperbaiki rekod kedudukannya sebagai juara bertahan untuk bersiap-sedia menentang Sarawak dalam Perlawanan Sumbangsih. Setiap keringat yang membasahi pada riak wajah pemain-pemain elit Selangor jelas menyerlahkan semangat juang kesukanan pada ketika barisan Selangor sedang melakukan senaman samba dengan berlari-lari kecil secara berirama dipadang. Jenis gerakannya tidak jauh beza dari gerakan teknik-teknik yang ada semasa latihan utama. Sebaik menamatkan senaman itu dengan diakhiri larian sprint pendek, latihan disambung pula dengan latihan-latihan tubi lain pelbagai cara sebagai warm-up terakhir sebelum memulakan latihan utama lain yang lebih berat.

Bila tamat sahaja sesi memanaskan badan itu, seperti biasa latihan-latihan utama Tahap II diteruskan dengan teknik menggelecek bola, teknik berlari dengan bola, teknik mengawal bola, teknik menghantar bola, teknik menjaringkan gol, teknik menanduk bola, teknik golkeeping, teknik tackling, teknik defending dan terakhir teknik attacking. Ada baiknya juga jurulatih perlu memberi peluang untuk mereka mengajar pemain lain dengan mengadakan latihan bebas supaya pemain boleh berfikir secara kreatif tentang posisi permainan. Kadang-kadang ada masa-masa tertentu latihan ada dijalankan di dalam kelas bagi mencipta mood berbeza supaya tidak membosankan pemain dan juga dapat berkongsi permasalahan yang dihadapi baik dari segi teknik ataupun strategi permainan.

“Aduh….! Aduh….!” Jovial mengerang kesakitan bila kakinya dibentes dengan tidak sengaja oleh Ashraf ketika latihan menyerang bola pagi itu. Rakan-rakannya yang lain cuba memapahnya ke tepi bagi tujuan merawat. Dr. Shahrizad Shamsuddin yang bertindak sebagai doktor fisioterapinya dipertanggungjawabkan untuk hal-hal kecemasan sedemikian. Dia datang dengan membawa kotak first aid ke sisinya. Namun, insiden itu tidak sedikitpun menjejaskan sesi latihan yang sedang berjalan itu. Walaupun masa latihan masih ada berbaki lima belas minit lagi untuk sesi menyejukkan badan, tapi nampaknya Ismail tetap memutuskan untuk menamatkan latihan lebih awal pagi ini.

“Piweeettt……………!!!!!” Tiupan wisel yang dialunkan oleh jurulatih Irfan Radani jelas melegakan semua anak-anak buahnya itu. Dia mengambil alih tugas Kent Wilson pada bulan lepas sebaik tamat kontraknya dengan Selangor. Apa yang diharapkan ialah mutu dan corak persembahan akan lebih baik dengan adanya jurulatih baru itu.

“Baiklah. Sesi latihan kita tamat di sini saja. Biarkan Jovial di sini, dan yang lain tu boleh ke bilik persalinan sekarang. Saya beri awak masa sepuluh minit sahaja untuk awak semua salin pakaian dan berkumpul di sini semula untuk satu taklimat pendek. Okey, jangan berlengah lagi. Bergerak sekarang ke bilik persalinan!”

Okey,” balas anak-anak buahnya serentak tetapi agak tidak teratur.

Di hujung padang, mereka berborak-borak kosong dan berehat seketika kerana belum ada keinginan untuk pergi ke bilik persalinan. Talib tidak segan-segan melucutkan bajunya yang dibasahi peluh. Shahril pula sedang mengurut-urut kakinya yang melecet. Tumit kakinya luka seperti dihiris pisau tajam. Pedihnya seperti ditusuk sembilu. Dari arah jauh, aku datang berlenggang, sengaja menyibuk-nyibuk untuk bersama mereka.

“Fuh…lega!” Aku mengambil peluang meniarap di atas padang, menghempaskan pula nafas kasar mogok kepenatan sebaik tamat sesi latihan. Effie Iskandar yang turut berada disisi juga melepaskan penatnya dalam keadaan bajunya basah bermandikan peluh. Shin guard yang dipakainya telahpun ditanggalkan daripada buku lalinya. Lim Boon Keet juga sudah melucutkan gloves yang dipakai ditangannya. Air botol mineral yang dibawanya lantas dicapai dan diminum untuk menghilangkan dahaga, dan selebihnya dibasahkan ke muka. Semuanya berkumpul di situ sebentar sebelum menuju ke bilik persalinan.

“Hei Zif, cepatlah. Nak tunggu apalagi. Jomlah kita salin pakaian. Aku rasa tak selesa ni,”

“Alah nanti kejaplah. Aku penat ni,”

“Eleh kau ni. Penat sikit dah macam nak mati. Macam baru training dua tiga hari. Hei, bersemangat sikitlah,”

“Banyak cakaplah kau,”

“Eh, Zif,” Effie menggugah-gugah bahu kiriku sambil bibirnya terjuih mengarahkan sesuatu ke seat stadium.

“Tu, apa kau ni? Janga kacau aku boleh tak?” Tangan aku masih menerkup muka menutupi kedua-dua belah mata.

“Tu..tu…tunang kau dah datang,”

“Ha? Mana dia?” Bingkas saja bangun membetulkan posisi badan dalam keadaan sedikit terkejut. Tiba-tiba datang pula Aqin dan Izwan melintas di hadapan aku. Mereka memang tidak habis-habis suka menyakat aku. Mereka tetap mencari peluang mengacau aku berdua kerana aku tidak pernah tinggal membawa Lin ke mana saja pergi mahupun menyaksikan perlawanan ataupun berlawan. Cinta Lin bersemi pada permainan bola. Kini Lin benar-benar gian menonton bola. Gila bola yang menyerangnya kadangkala mengatasi aku. Nikmat keseronokan menonton bola hanya dapat diceritakan oleh kaki-kaki bola sahaja. Kadang-kadang apabila diusik kawan-kawan tentang belangkas bola sudah datang, aku hanya mampu tersenyum. Senyum itulah senjata halusku. Senyuman yang menyembunyikan rahsia kelicikan Lin. Memberi malu Lin adalah sama seperti memberi malu diriku sendiri.

“Zif…….!!!” Lin berteriak panjang memanggil-manggil dari jarak jauh berlari-lari pula menghampiri aku. Tangannya membawa suatu bungkusan yang entah apa didalamnya tidak pula kelihatan; melebarkan pula senyuman manis pasti saja memikat sesiapa yang memandangnya. Tampil kemas bergaya dengan sut jaket mengikut potongan badannya dan dipadan pula skirt pendek hitam sedondon; sesuai dengan pakaiannya ke pejabat. Lipstiknya pula berwarna merah garang.

“Hi, Zif. Hi Effie. Lama tak jumpa Effie? Ha..nah ni I ada bawakan you air botol 100 Plus dan karipap kegemaran you. Ni je yang I sempat beli. Nah, tentu dahagakan?” pelawa Lin sambil menghulurkan.

“Thanks, Lin. You ni memang caring lah. Emm….you tak kerja ke hari ni?”

“Kerja. Tapi I minta keluar kejap sebab I pergi bank. Pergi masukkan duit untuk mak dikampung. After lunch I masuklah office,”

“Hi, takkan untuk buah hati seorang tu je untuk aku tak ada ke?” Effie sengaja menyampuk.

“Ceh..tak malu,” celah aku yang sedang mengunyah-nguyah karipap.

“Ohh…I dah beli air tu satu botol besar. Kau kongsilah berdua, ya,”

Thanks, Lin. Aku cuma bergurau je. Em…okeylah Zif aku pergi dulu. Tukar pakaian,”

Okey ,okey. Nanti aku menyusul,” Effie beredar pergi meninggalkan kami berdua. Walaupun telah mengatur beberapa langkah, sesekali dia menoleh ke arah kami yang sedang rancak berbual.

“Em…Lin, perlawanan Sumbangsih tak lama lagi. I nak you datang ke perlawanan tu nanti, ya. I dah tempah dua tiket untuk you. Untuk satu tiket lagi tu, you ajaklah sesiapa kawan you untuk temankan you. Okey,”

Okey. Apa-apalah,” Aku mula menyedari bahawa Lin memberi respon yang kurang menyenangkan. Mukanya dilemparkan ke sudut lain. Aku mendekatinya kerana aku lebih suka berbincang perkara peribadi jauh dari pengetahuan orang lain.

“Kenapa ni, Lin? Apa yang tak kena? You tak suka ke dengan tiket yang I berikan tu?”

“Tak. Bukan pasal tiket tu. Dan bukannya I tak suka, malah I terlebih suka. Tapi..” Dia menghembuskan nafasnya.

“Tapi apa? Kalau bukan pasal tiket tu, habis pasal apa?”

“Pasal you,”

I? Apa yang I dah buat pada you?”

“Zif..I tengok sejak kebelakangan ni you asyik sibuk sampai tak ada masa dengan I. Dengan kedua orang tua I pun you tak jumpa lagi. Korbankanlah sikit masa untuk semua tu. Janganlah asyik dengan bola je. Kadang-kadang kita pun perlu ada life. Masa yang kita ada pun cuma dihabiskan kat stadium, kat padang. Dan kalau bukan kat padang pun, saat yang paling memorable yang pernah kita luangkan bersama itu pun masa dinner..atau lunch,”

“Lin you mesti faham dengan kerjaya I. Kita masing-masing ada tanggungjawab. I sibuk tak bermakna I dah lupakan you. Malah I sentiasa rindukan you. Selagi kita menaruh kepercayaan di antara satu sama lain, selagi itu you akan percaya bahawa hubungan kita akan terus kekal. I harap you faham. Jangan bimbang nanti I akan jumpa juga dengan orang tua you tu nanti, okey? I janji. Senyum sikit,” Lin hanya tersenyum tawar.

“Hoi….! Zif cepatlah tukar pakaian. Kejap lagi kena berkumpul,” Suara Effie kedengaran jauh.

Okeylah, Zif kawan you tu dah panggil dah. I nak ke bank dan lepas tu balik office. Dan I janji akan datang perlawanan you tu. Okey, bye!”

Bye,” Aku bersuara dengan kordel vokal tertekan ke dalam.

Hoi..!cepatlah! Lambatlah kau ni macam perempuan,” Effie memanggil lagi, kali ini dia memekik lebih kuat.

“Huh, kacau daun betullah dia ni.” Perlahan-lahan aku mengatur langkah berjalan, sempat pula memalingkan muka ke arah Lin. Effie yang masih tercegat mencekak pinggang, mencapai pula bola sepak yang kebetulan berada di sebelah kakinya, lalu dilontarkan ke arah Razif apabila tahap kesabarannya sudah tidak dapat ditahan lagi. Lambungannya itu tepat menghinggapi ke kepala.

‘Bedebuk!’ Malangnya nasib tersungkur dan jatuh tertiarap serta-merta di padang. Lin pula berlari mendapatkan aku. Malu sungguh. Padan muka aku.

‘BEDEBUK!’ Satu tumbukan hinggap dipipi Irfan Radani. Pada ketika anak-anak buahnya yang lain telah menuju ke bilik persalinan, satu pergaduhan sedang berlaku di antara jurulatihnya, Irfan dan Aaron. Kelihatan mereka berdua sedang tumbuk menumbuk dipadang. Beberapa kawan-kawan sepasukannya yang lain sedang meleraikan pertengkaran tersebut. Jelas Aaron tidak berpuas hati dengan pengurusan jurulatihnya yang bertindak tidak menyenaraikannya dalam beberapa perlawanan penting termasuk Piala Malaysia. Dia bertambah berang lagi bila Irfan juga turut meletakkan dia sebaris dengan pemain simpanan sejak sekembalinya dia dari Jerman. Aku dan Effie yang baru hendak memulakan satu dua tapak langkah, terkejut dengan insiden tersebut. Apalagi kami berdua terus berkejar ke tempat kejadian.

“Aku tak nak tengok muka kau lagi kat sini lepas ni. Aku tak akan berikan apa yang kau nak. Kau ingat kau bila kau dah dapat bermain untuk Piala Asia, aku akan pandang kau? Aku sebagai jurulatih, aku berhak tetapkan keputusan. Aku juga boleh buang kau bila-bila masa je yang aku suka. Kau tahu tak?” jawab Irfan dalam keadaan marah lalu mengesat-ngesat darah yang mengalir keluar daripada bibirnya dengan hujung bajunya itu.

“Baiklah, kita tengok siapa yang kena buang. Saya yang kena buang atau Cikgu sendiri yang akan dibuang nanti,” kata-katan Aaron itu seakan-akan memberi amaran. Dia tetap dengan pendiriannya itu untuk mendapatkan semula pertahanannya itu.

“Saya akan saman awak nanti. Awak ingat saya main-main?” Sekali lagi Cikgu Irfan memberi peringatan.

“Nak saman saya? Samanlah! Ayah saya yang akan pecat awak dulu!”

“Sudah! Sudah! Cuba bawa bertenang dan berbincang,” tenang Ismail pada Aaron yang cuba menyejukkan api kemarahannya yang sedang marak membara itu. Aku tergumam seketika. Jelas apa yang berlaku itu ada kaitannya dengan aku. Kalau tidak kerana aku yang bermain untuk menggantikan tempatnya sewaktu ketiadaannya, kemungkinan semua ini tidak akan berlaku. Tapi aku tidak bersalah dalam hal ini kerana semua itu telahpun ditetapkan oleh jurulatih. Tapi tidak sangka pula perkara kecil itu boleh membawa kepada saman-menyaman dimahkamah. Masalah yang sejengkal sudah menjadi sedepa.

(bersambung… 26.12.2007)

1 Comment »