Kecederaan Anterior Cruciate Ligament yang dialami oleh Jovial masih dalam pengawasan doktor fisioterapinya. Selain diawasi oleh Dr. Shahrizad, kecederaannya itu berada di bawah kelolaan pakar bedah ortopedik dan juga masih dalam proses pemulihan intensif. Jurupulihnya, Dr. Shahabuddin bin Said turut berperanan menjaga dietisan bagi memastikan pemakanan yang diperlukan selain dipertanggungjawabkan untuk menegangkan otot-ototnya yang kecut akibat kecederaannya itu. Pekerja sosial juga disediakan bagi memudahkannya menguruskan hal-hal tuntutan seperti insurans dan sebagainya. Walaupun telah dinasihatkan untuk tidak bermain, namun Jovial tetap berdegil juga. Seboleh-bolehnya dia merayu kepada Dr. Shahrizad untuk membolehkan dia diturunkan setelah gagal mendapat persetujuan daripada jurulatihnya, Cikgu Ismail. Jovial nampaknya lebih jelas selesa berbincang dengan Dr. Shahrizad kerana sikapnya yang lebih memanjakan anak-anak buahnya. Dia tidak seperti Cikgu Ismail yang jauh lebih tegas.
“Daripada pemeriksaan saya terhadap kecederaan sendi lutut yang dialami oleh awak, saya mendapati lapan puluh lima peratus masih lagi terdapat koyakan berhampiran dengan miniskus. Kecederaan awak walaupun hampir pulih tapi awak tidak boleh diturunkan dalam masa terdekat ini. Awak masih lagi dalam pengawasan saya. Saya mencadangkan awak perlu menjalani pembedahan teropong bagi menggantikan tisu-tisu ligamen yang terkoyak, dan seterusnya melalui proses pemulihan intensif di bawah kelolaan saya. Saya akan uruskan pembedahan tu jika awak sudah bersedia,” kata Dr. Shahrizad itu sambil menyemburkan ethyl chloride pada sebelah lutut kanannya. Setelah itu, dia menutup semula balutan bandage bagi merehatkan kakinya yang sakit itu.
“Doktor, kalau saya dibawa masuk ke hospital itu nanti, berapa lama saya akan pulih dari pembedahan saya itu nanti?” tanya Jovial sambil berhati-hati menurunkan kakinya mencecah lantai, lalu bangun setelah lama duduk di atas stretcher tersebut.
“Masa yang paling cepat pun adalah lebih kurang lapan bulan. Itu pun bergantung kepada proses pemulihan intensif saya. Kalau cepat awak dapat menerima cara pemulihan saya itu, maka cepatlah awak akan sembuh.” Dia terpana bila mendengar penerangan doktornya itu. Fikirnya, jika dia bersedia untuk pembedahan itu bermakna dia akan terlepas daripada bermain untuk Piala Malaysia nanti. Dan jika pula dia menangguhkan pembedahan itu, dia akan bermain dalam kesakitan nanti. Tapi kalau dia memilih pilihan yang kedua itu, sekurang-kurangnya dia akan dapat beraksi. Cuma dia perlu mencari jalan bagaimana untuk meredakan kesakitannya itu. Dan yang paling penting baginya sekarang ini ialah kebenaran dari pihak doktornya itu untuk melayakkan dia bermain.
“Doktor, rasanya tak keterlaluan kalau saya katakan saya masih dapat melawan kesakitan ni dan minta dibenarkan untuk diturunkan ke padang,”
“Maksud awak, awak nak saya benarkan awak bermain? Macam mana saya nak benarkan awak bermain sedangkan kaki awak masih lagi sakit?”
“Saya tidak akan dapat berbuat begitu jika doktor tak luluskan laporan saya itu,”
“Maksud awak, awak nak saya memalsukan laporan kecederaan awak itu? Apa awak nak saya dipecat daripada FAS? Kalau itu yang awak mahu, maafkan saya. Saya tak boleh berbuat begitu sebab itu adalah polisi persatuan ni. Ia akan menjatuhkan kredibiliti saya sebagai seorang doktor. Saya juga akan boleh didakwa jikalau saya berbuat begitu,”
“Oh, kalau macam gitu, doktor lagi boleh didakwa sebab doktor pernah berikan dadah pada Zaini Zain dulu. Doktor ingat saya tak tahu semua tu? Doktor boleh didakwa pada bila-bila masa saja kalau saya buka mulut. Okeylah, kalau doktor tak benarkan tak apalah, saya pegi dulu,” Jovial cuba menarik dirinya ke pintu, tapi dia ditahan oleh Dr. Shahrizad itu. Dia berasa tidak selamat pula jika membiarkan Jovial keluar begitu sahaja.
“Eh, nanti..nanti..nanti dulu, Jovial. Kita harus berbincang,”
“Ya, doktor? Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Jovial sengaja berkata begitu. Sengaja mencetuskan gurau untuk menyindirnya. Jelas gurauannya itu tidak disenangi oleh Dr. Shahrizad.
“Macam mana awak boleh tahu ni semua?” Jovial tersenyum sinis.
“Selagi saya masih dalam skuad ni, dan selagi itulah saya akan tahu semuanya. Pasukan Selangor ni kecil je, doktor. Doktor tak payahlah nak sembunyikan perkara tu. Semua orang dah tahu,”
“Okey, okey, baiklah. Apa yang awak nak saya lakukan?” Pertanyaan Dr. Shahrizad itu berjaya membuatkan Jovial kembali tersenyum. Namun, senyumannya kali ini penuh bermakna.
(bersambung… Rabu 16.01.2008)

