Bab 14

Di satu pertemuan yang telah dirancangkan, di situlah mereka bertemu.  Dengan hanya memakai topi untuk mengelak daripada dikenali, Jovial dilihat sedang ternanti-nanti kelibat orang yang dijanjikan itu di satu warung di tepi jalan. Tidak sampai lima minit Mie pun sampai dengan membawa sebuah bungkusan beg plastik.  Setelah berjabat tangan, barang pula bertukar tangan. Jovial pula menghulurkan sepucuk sampul surat yang berisi wang. Tidak pula ditanya berapa harganya kerana mereka terlebih dahulu berbincang ditalian telefon. Kedudukannya pula jauh dari segala manusia yang boleh mendengar akan perbualan mereka.

            “Nah, Jovial. Barang yang kau nak tu. Jangan bimbang stocknya masih banyak.  Kalau kau nak lagi aku boleh bagi,”

            “Terima kasih, Mie,”

            “Jovial, takkan kau asyik nak bergantung pada EPO tu je.  Kau tak nak cuba yang lain ke?  Yang ni lagi bagus, tapi mahal sikit.”  Mie menunjukkan tablet-tablet tersebut pada Jovial dalam kedaan terlindung dari begnya. Dia tahu bahawa bahan yang dicadangkan itu ialah dadah jenis anabolic steroid yang banyak dijual dipasaran tetapi diharamkan penggunaannya daripada sukan bola sepak. Bukan itu sahaja dia juga telah menggunakan painkiller jenis methadone bagi mengurangkan kesakitannya pada bahagian lututnya yang tercedera. Jelas pengetahuan Jovial semakin arif dalam soal-soal pengambilan bahan kimia tersebut sejak dia bertemu semula dengan Mie tersebut. Dia lantas mencapai tanpa banyak membuka mulut walaupun dia tahu risiko yang bakal dihadapinya nanti. Apalah guna diri jika hanya gagah setahun dua dan kemudiannya timbul pelbagai jenis penyakit dan kesan sampingan daripada makanan tambahan yang diambil itu. Dia semakin ghairah mengambil dan memakan pil-pil itu pada siang dan malam setiap sehari.     

            “Aku cadangkan kau guna benda ni pulak,” saran Mie dengan mengeluarkan dadah jenis diuretic furosmide dan nandrolone decanoate dari dalam begnya.

            “Ha? Benda ni mahal lah, Mie. Aku takut aku tak mampu bayar je,”

            “Alah, kau ambil jelah. Jangan risau aku boleh bagi kau discount. Nah, aku bagi kau dulu dan kau boleh bayarnya kemudian. Tapi kalau kau ambil ubat jenis ni kau kena makan pula dengan ubat yang satu lagi ni,” Dia mencapai dan lalu disimpan bahan itu bersama-sama dalam beg plastik tersebut.

            “Tapi ubat ni apa kegunaannya?”

            Diuretic furosmide ni dapat melindungi dan mempercepatkan proses kehilangan ubat jenis anabolik dalam badan. Ia juga digunakan untuk mempercepatkan proses penurunan berat badan untuk memudahkan kita beraksi di atas padang.  Dan yang ini pula kau boleh gunakan hanya untuk kecemasan sahaja. Yang ni jenis nandrolone decanoate.  Tapi ubat ni kau kena ambil dengan cara suntikan,”

“Yalah, yalah aku tahulah semua tu. Baiklah, nanti aku bayar pada kau.” Lagak cakapnya seperti orang yang tahu segalanya. Setelah lama di situ, Mie pun meminta diri untuk pulang. Jovial mencuri-curi lihat bungkusan yang masih terkepil ditangannya. Senyumnya itu menandakan kepuasan memiliki barang tersebut.

 

            DI SATU PANGKAL LORONG, telefon selular Azrani berbunyi. Dia lantas menyelongkar telefonnya di dalam beg galas dibahunya itu.  Keadaan trafik dijalanraya yang agak sibuk dan bingit itu memaksanya untuk menguatkan pendengaran.   

“Iya, iya, saya tahu, Encik. Saya akan selesaikannya dalam masa terdekat. Tapi berilah saya sikit masa lagi.  Nanti kalau saya ada duit, saya bayarlah,”

“Azrani dengar sini baik-baik. Awak ni dah lama tangguhkan bayaran tu dengan pihak kami. Dan pihak kami tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah. Harap kita dapat selesaikannya dengan cara baik. Sudah menanggung beban, jangan pula menanggung malu.  Ini amaran terakhir daripada pihak kami,”  

“Baiklah, Encik,” 

“Ti…………….”Azrani lantas melipat baik telefon bimbit Nokianya jenis fliptop, apabila ahli pegawai dari FAS itu menelefonnya buat kali terakhir. Setibanya dikeretanya, Azrani terkejut bila mendapati cermin keretanya pecah. Satu surat berupa ugutan daripada Ah Wong yang minta hutangnya dibayar secepat mungkin terselit pada alat pengelap kereta dicermin bahagian hadapan keretanya yang tidak dipecahkan. Fikirannya semakin buntu dan runsing kerana pemulangan sejumlah bonus yang perlu dikembalikan kepada majikannya itu masih belum dijelaskan. Hutang yang tersangkut dengan Ah Wong juga belum dilangsaikan lagi. Bunganya pasti meningkat jika dia membiarkan ia tertunggak lama. Tidak tahu ke mana dia mahu mengadu dan mencari jalan penyelesaian. Ditambah pula dengan tanggungjawab untuk memberikan tumpuan sepenuhnya dalam Perlawanan Sumbangsih dan Piala Malaysia yang akan tiba tidak lama lagi. Apa yang perlu dibuatnya lagi pun tidak tahu ke mana hala tujunya.  

Tiba-tiba dia teringatkan seseorang dan dengan pantasnya dia mendail. Siapa lagi kalau bukan Datuk Dell yang pernah menawarkannya durian runtuh. Seseorang yang cukup terkenal dan berpengaruh.  Sebaik dapat menghubunginya, dia tidak membuang masa lagi untuk merancakkan aktiviti berkomunikasi.

Hello, boleh saya bercakap dengan Datuk Dell?”

 

DI STADIUM SELAYANG, aku berlari keliling trek. Bila jam yang disetkan oleh Lin itu telah dikira tamat, aku memberhentikan larian terakhir aku; lalu jatuh menghumbankan diri di atas padang. 

Okey, stop! Dah cukup lima belas minit,”  Lin memicitkan butang jam randik itu menandakan masa sudahpun tamat.

“Berapa pusingan?”Aku bertanya serentak mencapai pula air mineral yang berada di atas kerusi stadium.

“Enam,” balas Lin.

“Enam?” Aku mengeluh hampa. Lin yang duduk berselang di dua tiga barisan kerusi stadium itu, mencapai bola yang berada di sebelahnya lalu melemparkan pada aku. Sebaik menyedari, aku terus sambut bola itu dengan kaki kanan. Bola itu dibumping beberapa kali sebelum dicapai pula dengan tangan dan menanduk-nanduk; melambung-lambungkannya dan menendang-nendangnya.

You tak nak lawan timbang bola dengan I ke?”  Lin hanya mampu tersenyum. 

You nampak penat sangat, Zif.  Teruk ke latihan hari ni?”

“Tak adalah penat. Kalau you jadi jurulatih I terus pun tak apa. Tiap-tiap hari I akan datang berlatih,”

“Alah, you kalau I tak ada pun, you tetap dengan bola you tu. Kalau boleh nak tidur pun dengan bola,”  Lin cuba mencari titik perbualan untuk dijadikan topik pada hari ini.  Barisan ayatnya itu seolah-olah menyindir Razif yang sentiasa sibuk dengan bola itu.  Ingatnya, dia dapat mengubah Razif supaya lebih menumpukan komitmen terhadap hubungannya itu tetapi ternyata Razif masih lagi tidak faham dengan apa yang hendak disampaikannya itu.  

“Bola, bola, bola. Bola dah jadi sebati dalam diri I.  Hidup I hanya tahu bola.  Bila ditendang ke sana ia melambung.  Bila disepak ke sini ia melantun. Hiduppun ikut rentak bola, Lin,”

“Tapi apa yang I tengok bola yang you tendang itu terus saja melambung dan tak pernah nak berhenti. Baik-baik bermain bola. I takut you akan jadi seperti arwah ayah I.  Meninggal dunia sewaktu menonton perlawanan bola. Biarlah dia seorang saja yang begitu,”

“Kata orang pandai agama, bila sampai ajal seseorang tu, ia tak akan terlewat atau tercepat biar sesaat pun. Jika ajal I kebetulan tiba sewaktu bermain bola, I redha menerimanya,” Razif telah membuatkan Lin jadi bungkam dan kelu. Mati akal dibuatnya bila tunangnya berkata begitu. Giannya kepada permainan bola sepak sama seperti ayahnya juga, abadi sehingga ke akhir hayat.

“Jadi ke tak you nak jumpa dengan ibu I di kampung hari Sabtu ni?” Lin tidak banyak berganjak daripada kerusinya. Tangannya mengorek-ngorek kukunya. Aku sempat mengerling ke arahnya, dan membiarkan kaki mengguling-gulingkan bola.  

“Hari Sabtu ni tak bolehlah, sayang.  I nak tengok Brazil lawan Denmark Sabtu ni.  I tak nak terlepas perlawanan favourite I tu. Pasal tu kan kita kita boleh tunda hari lain.  Lagipun Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pun dah nak dekat. I nak concentrate sepenuhnya terhadap perlawanan tu nanti.  Em… you nak temankan I tengok Piala Dunia hari Sabtu tu nanti tak? Lin…?Lin…?Lin?” Aku terhenti daripada menanduk bola bila dia tidak menyahut panggilan aku.  Bila aku menoleh ke belakang tempat duduknya itu, dia sudah pun tiada di situ. Entah ke mana dia lesapkan diri. Yang ada di situ cuma kertas suratkhabar berterbangan ditiup angin.            

6 Comments »

Bab 13

Majlis Undian Liga Perdana
Hotel Istana
10.00 malam

 
Ketika juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah tahun lepas menentang pemenang Piala FA, Perlis dalam perlawanan pembukaan pertama bagi merebut Piala Sumbangsih pada 29 April ini telahpun ditentukan; kini Selangor sedang sibuk membuat persiapan untuk merebut Piala Liga pula. Sewaktu itu, majlis menyaksikan satu cabutan undi dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Afizuddin Alwi Shah. Dua balang kaca yang berisi beberapa biji bola berlainan warna; beliau dibantu oleh Datuk Lim Che Jeong, Penolong Setiausaha FAM disebelahnya sambil mengawal microphone ketika Tengku Afizuddin sedang petah berucap.

“Baiklah, nombor seterusnya dan yang terakhir diundi pada malam ini, adalah… nombor.., nombor 7. Dengan semua nombor yang telah diundi tadi, maka saya mengisytiharkan tamatlah undian kita pada malam ini,” katanya sambil diiringi tepukan bergemuruh. Selepas itu, beliau kembali ke tempat duduknya. Ismail dan Azrani yang kebetulan berada dibarisan hadapan kerusi sedang berbisik-bisik sesama sendiri.

“Hei, dia orang ni aku tengok macam tak bersemangat je nak undi. Dia orang nak undi untuk Piala Liga ke atau berkira-kira untuk mengundi pasukan mana yang akan dipertaruhkan?” tanya Azrani secara berseloroh.

“Hei, kau jangan ingat dia orang tu macam kau yang suka mempertaruhkan perlawanan. Yang kau tu pulak pertaruhkan apa? Pertaruhkan berapa banyak bola yang digol atau berapa banyak duit yang masuk dalam kocek kau?” sindir Ismail sedikit sebanyak mencuit emosinya. Perbualan mereka disedari oleh jurulatih yang duduk bersebelahan tempatnya.

“Apa yang masuk apa yang tak masuk ni? Ha?” celah Cikgu Ismail yang entah dari mananya muncul. Mereka seolah-olah kaku ditempat duduk masing-masing.

“Hm…, tak ada apa-apa Cikgu,” jawab Ismail sambil mengerling kepada Azrani.

Pada majlis undian yang sedang berlangsung itu, hampir semua wakil pasukan mengakui masih dalam persediaan terakhir untuk mengenalpasti pemain dan mahu tidak mahu perlu menyegerakan persiapan masing-masing menjelang perlawanan pertama pusingan itu. Dua lagi perlawanan Piala Sumbangsih yang turut diadakan pada 29 April ini adalah antara Johor yang menjadi tuan rumah kepada sebuah lagi pasukan Perak manakala Pulau Pinang menanti kedatangan Perlis di gelanggang sendiri.

Namun, saingan di Liga Perdana untuk mencari dua pasukan terbaik ke Piala Malaysia, tetap mencuri perhatian apabila enam bekas juara Piala Malaysia – Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Brunei, Kedah, Perak- diundi dalam Perdana Satu bersama-sama Sabah, Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak dan Olimpik 2000.

Perlawanan pusingan pertama Liga Perdana dijadualkan tamat pada 5 Jun sebelum pusingan kedua bermula 12 Jun dan tamat 14 Julai ini. Bagi Perdana Dua pula, semua pasukan akan menempuh perlawanan pertama pada 6 Jun dengan NS Chempaka bertandang ke gelanggang Tentera di Stadium Tuanku Abdul Rahman; Melaka menanti kedatangan Kelantan, Johor bertemu Johor FC dan Terengganu melayani kedatangan Polis. 

Badan induk itu juga sudah mengkaji jadual pertandingan bagi Liga Perdana musim baru ini dan dijangka ia akan lebih baik berbanding masa lalu kerana akan memberi ruang lebih selesa buat pemain dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

“Selepas mengambil kira tempoh bagi latihan skuad kebangsaan, kita dapat menyediakan jadual perlawanan yang lebih baik dan tidak terlalu hampir di antara satu sama lain. Malah kita akan cuba melihat lebih jauh dan sedia mengkaji cadangan supaya perlawanan musim depan berlanjutan sehingga ke tahun 2004,” kata Datuk Lim Che Jeong; mengetuk-ngetuk dan menjentik-jentik microphone dengan jarinya bila volumenya kedengaran tidak berapa jelas; dihulurkannya pula sebatang microphone yang baru oleh seorang technician yang bertugas di sebelahnya. Sementara itu seorang wartawan sempat mengajukan soalan kepada Tengku Afizuddin yang kelihatan sudahpun bersedia untuk berinteraksi dengan wartawan-wartawan yang hadir.

“Em, Datuk Lim. Bagaimana dengan ujian kecergasan Cooper yang dicadangkan sebelum ini?”

“Sekiranya fizikal pemain baik, sudah tentu mentalnya juga baik. Pemain dan jurulatih sendiri perlu mengutamakan soal menjaga badan, pemakanan dan waktu tidur yang cukup. Kalau ujian kecergasan Cooper dibuat untuk dua belas minit, tiada salahnya ia dijalankan selama lima belas minit. Pemain juga mengambil inisiatif meningkatkan keupayaan terutama pemain muda supaya mampu bertahan bermain sehingga seratus lapan puluh minit. Tetapi kami juga kecewa kerana pemain yang dipanggil untuk pasukan kebangsaan, sering kali tidak mencapai tahap kecergasan fizikal dan mental yang dikehendaki sehingga jurulatih terpaksa memperuntukkan sebahagian besar masa bagi kedua-dua aspek berkenaan. Saya menolak andaian negara tidak mencukupi untuk diketengahkan, dan FAM sekarang dalam usaha meramaikan lagi pemain di peringkat akar umbi perlu diperhebat untuk mencapai sekurang-kurangnya nisbah satu peratus berbanding jumlah penduduk negara ini,” katanya pada sidang media itu.

            “Jadi apa yang telah dirancangkan setakat ini?” seorang lagi wartawan Metro menempelak pantas.

“FAM akan membentangkan kepada kementerian dan Jawatankuasa Pemandu Program Khas Sukan Teras untuk menambah bilangan jurulatih di peringkat bawah dalam mesyuarat esok,” sambung Tengku Afizuddin Alwi Shah.

Mengenai tempoh tajaan Dunhill yang tamat musim lalu dan kemungkinan FAM berdepan musim sukar, beliau berkata terpulang kepada semua pihak untuk memastikan liga berjalan dengan berjaya, berdaya saing bagi menarik penaja baru serta memikat penonton.

“Bagaimana pula dengan masalah tajaan yang dihadapi oleh pasukan tahun ini?”

“Setiap pasukan perlu mempunyai pemain yang bagus dan pengurusan yang cekap, sama ada di dalam ataupun di luar padang. FAM sendiri bercadang mengadakan pertemuan dengan semua pemain supaya peranan mereka dan dapat meningkatkan industri bola sepak. FAM juga kekurangan kira-kira dua puluh peratus geran tahunan kepada semua pasukan dan ini bermakna setiap pasukan perlu mengambil inisiatif mencari penaja sendiri dan bijak mengatur perbelanjaan pengurusan dan pembayaran gaji pemain, mengikut keupayaan kewangan sendiri,” sambungnya sebagai penutup ucapannya itu. Ucapannya pula disusuli dengan kerlipan cahaya kamera yang hebat.  

2 Comments »