Idea untuk menulis manuskrip ini timbul pada tahun 1997. Waktu itu, demam Piala Dunia 1998 telahpun bermula dan aku melihat kenapa orang ramai pegitu obses dan gilakan bola sepak. Jadi ia telah mengeheret aku untuk menulis sebuah fiksyen hebat yang bersangkut-paut dengan bola sepak. Alasan lain juga, aku melihat karya sebegini tidak banyak dipasaran. Hanya sebuah novel tentang bola sepak sahaja pernah diterbitkan yang berjudul Prit…! karya Alias Ismail terbitan Utusan Publications. Itupun hanya dapat bertahan beberapa bulan sahaja dipasaran kerana tidak mendapat sambutan yang hangat daripada pembaca di Malaysia. Terbaru, ada sebuah novel yang juga mengangkat tema yang sama iaitu novel Impian Juara karya Tariq Gabriel terbitan Karnadya tetapi ia adalah sebuah novel khusus untuk golongan kanak-kanak berusia 14 tahun dan ke atas. Seperti novel-novel yang telah disebutkan di atas tadi tentunya aku mahu melihat novel yang bergenre sukan bola sepak yang satu ini mendapat sambutan hangat dipasaran dan tidak keterlaluan aku mahu novel Piala Kehidupan ini menjadi satu fenomena setiap kali musim demam bola sepak tiba.
Tajuknya sahaja memang diambil daripada tajuk lagu Ricky Martin iaitu The Cup of Life. Pada mulanya memang aku hendak mencipta satu tajuk lain supaya tidak timbul masalah berkenaan hak cipta nanti, tetapi aku difahamkan oleh kawan aku yang bekerja di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), dia memberitahu saya bahawa kita memang tidak boleh menciplak karya seseorang baik menterjemah sekalipun tetapi sebenarnya jika karya mengenai tajuk pula, tidak ada akta khas yang mengatakan seseorang itu tidak boleh menggunakan atau dia seorang sahaja yang boleh menggunakan tajuk tersebut. Contoh ketara yang boleh dilihat ialah sebelum ini aku pernah melihat novel dengan tajuk Atas Nama Cinta karya Isa Kamari dan dalam masa yang sama juga ada novel terbitan Fajar Pakeer karya Bikash Nur Idris dan juga novel terbitan Alaf 21 karya Lily Suriani yang juga menggunakan judul yang sama.
Jadi aku telah mengumpul semua bahan-bahan untuk dijadikan sumber rujukan termasuklah daripada suratkhabar, buku, majalah, ensiklopedia mahupun di internet. Masa itu aku tidak ada komputer untuk menulis walaupun telah memiliki idea dan jalan cerita yang masih terperap simpan di dalam benak kepala, dan untuk tidak mahu idea itu hilang maka aku telah memutuskan untuk menulisnya di atas kertas dahulu. Malangnya, aku agak kecewa kerana manuskrip yang bertulis tangan itu telah di makan anai-anai. Tetapi nasib baik kecewa aku itu tidaklah lama sebab manuskrip itu tidak begitu teruk kerana anai-anai itu ia cuma memakan dibahagian keliling kertas sahaja.
Setahun kemudian, ayah telah membelikan aku komputer, jadi aku mengambil kesempatan itu untuk menaip dengan lebih kemas supaya aku boleh print dan menghantar sebuah manuskrip yang sempurna kepada penerbit. Sewaktu Piala Dunia memuncak pada tahun 1998, aku semakin bersemangat hendak menulis. Semangat yang ada mungkin mengalahkan orang-orang bermain bola ataupun yang minat dengan bola. Tetapi secara jujurnya aku katakan yang aku sebenarnya adalah seorang kaki bangku dan tidak sukakan sukan bola sepak. Apa yang aku tulis mengenai bola sepak ini adalah hasil research aku yang terperinci tentang sukan bola sepak termasuklah bertanya kepada pakcik saya tentang pengalamannya dalam bidang sukan bola sepak kerana pakcikku dahulu pernah bermain untuk pasukan Johor. Kemudian banyak lagi yang aku “bongkar” tentang bola sepak selepas itu termasuklah bertanya kepada orang yang arif tentang cara-cara bermain bola sepak, jenis-jenis posisi permainan, undang-undang dan peraturan bola sepak dan lain-lain.
Masa yang diambil selama 10 tahun untuk membuat kajian dan menulis novel ini sama usianya dengan novel Memoirs Of A Geisha karya Golden Arthur. Perancangan awal adalah untuk menyiapkannya sebelum Piala Dunia 2002, tetepi di atas masalah teknikal dan sumber yang tidak mencukupi, hasrat untuk menerbitkan karya ini lebih awal menemui pembaca tidak dapat dilakukan. Aku telah mula mencari penerbit setelah manuskrip ini siap sepenuhnya pada tahun 2005. Jika hendak diikutkan aku mungkin hanya mengambil masa 8 tahun untuk menyiapkannya, tetapi baki masa 2 tahun lagi itu adalah untuk kerja-kerja rombakan yang telah dibuat lebih daripada lima kali.
Kemudian, kebetulan kawan saya Yusri yang pernah menyertai delegasi Mendaki Gunung Everest dahulu membawa saya berjumpa dengan Karangkraf. Niat asal hendak berjumpa dengan Editor Alaf 21, bahagian penerbitan novel, tetapi aku dibawa terlebih dahulu berjumpa dengan Editor bahagian novel grafik. Editor tersebut tampaknya berminat hendak menerbitkan manuskrip saya (yang pada waktu itu dalam bentuk CD) dalam bentuk novel grafik tetapi apabilla memandangkan tujuan aku datang itu sebenarnya adalah untuk diterbitkan dalam bentuk novel, jadi dia mencadangkan aku pergi berjumpa dengan Editor Alaf 21. Lebih kurang dua minggu kemudian, akupun pegi berjumpa dengan editor tersebut. Manuskrip telahpun dihantar tetapi malangnya setelah lebih 3 bulan, aku menghubungi mereka semula, dia mengatakan karya aku tidak dapat diterbitkan di atas sebab-sebab untuk memenuhi nilai komersialisme syarikat mereka kerana selalunya novel atau penulis yang dipilih biasanya berdasarkan lebih kepada genre cinta.
Kecewa dengan penolakan tersebut aku pergi mencari penerbit lain. Aku mencuba pula syarikat Rosyam Nor iaitu Suhan Publishing yang pernah menerbitkan novel Dilla Hussin iaitu Dewa Cintaku. Pemilihan aku ke syarikat penerbitanberkenaan adalah kerana tertarik dengan jenama syarikatnya yang mempunyai link ke penerbitan drama ataupun filem kerana fikirku jika novel aku diterbitkan di syarikatnya nanti, mungkin peluang untuk melihat novel aku diadaptasi ke filem lebih cerah. Tetapi perkara yang sama berlaku. Selepas 3 bulan lagi manuskrip aku juga ditolak di atas alasan syarikat mereka tidak menerbitkan novel dalam masa terdekat itu. Alasan lain ialah syarikat mereka sekarang ini lebih menumpukan kepada penerbitan drama dan filem.
Kemudian aku menghantar pula ke syarikat Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd. di Pandan Indah tetapi sebelum itu aku telahpun menghubungi Perpustakaan Negara untuk bertanya tentang proses mendapatkan copyright. Melalui pekerjanya di perpustakaan di sana, aku telah dicadangkan untuk menghantar manuskrip aku itu ke syarikat yang dimaksudkan itu. Apalagi aku terus ke pejabatnya seminggu kemudiannya dan untuk kali yang ketiga ini aku gembiran dan teruja kerana manuskrip aku ini akhirnya berjaya diterima dan sedia untuk dinilai. Pemilihan itu dibuat mungkin kerana kelainan yang aku tampilkan di dalam karya pertama aku itu. Setahun kemudian, aku telah diberitahu bahawa novel aku akan diterbitkan secara official pada bulan April 2008. Tetapi sebelum novel aku berada dipasaran lagi, aku telah muncul dengan strategi tertentu bagi menarik pembaca iaitu dengan membina laman blog khas untuk mengumpul peminat-peminat aku sendiri hasil bantuan seorang rakan, Soleh Mahfoz. Usaha aku membina laman blog itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kaki-kaki internet yang terdiri daripada pencinta buku. Dan kini, selain menanti kemunculan novel terbaru itu, peminat setia ulat buku juga boleh melayari dan membaca beberapa bab yang diambil daripada novel Piala Kehidupan sebelum ia diterbitkan dipasaran.
Dan bagi peminat-peminat buku dan pengunjung-pengunjung laman blog Nazehran Jose Ahmad kami bagi pihak laman blog ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi meluangkan masa mengunjungi laman blog kami serta jangan lupa mendapatkan novel ini di pasaran. Nantikan juga kemunculan novel-novel terbaru Nazehran Jose Ahmad samada akan diterbitkan mahupun yang bakal ditulis nanti.

