Majlis Undian Liga Perdana
Hotel Istana
10.00 malam

 
Ketika juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah tahun lepas menentang pemenang Piala FA, Perlis dalam perlawanan pembukaan pertama bagi merebut Piala Sumbangsih pada 29 April ini telahpun ditentukan; kini Selangor sedang sibuk membuat persiapan untuk merebut Piala Liga pula. Sewaktu itu, majlis menyaksikan satu cabutan undi dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Afizuddin Alwi Shah. Dua balang kaca yang berisi beberapa biji bola berlainan warna; beliau dibantu oleh Datuk Lim Che Jeong, Penolong Setiausaha FAM disebelahnya sambil mengawal microphone ketika Tengku Afizuddin sedang petah berucap.

“Baiklah, nombor seterusnya dan yang terakhir diundi pada malam ini, adalah… nombor.., nombor 7. Dengan semua nombor yang telah diundi tadi, maka saya mengisytiharkan tamatlah undian kita pada malam ini,” katanya sambil diiringi tepukan bergemuruh. Selepas itu, beliau kembali ke tempat duduknya. Ismail dan Azrani yang kebetulan berada dibarisan hadapan kerusi sedang berbisik-bisik sesama sendiri.

“Hei, dia orang ni aku tengok macam tak bersemangat je nak undi. Dia orang nak undi untuk Piala Liga ke atau berkira-kira untuk mengundi pasukan mana yang akan dipertaruhkan?” tanya Azrani secara berseloroh.

“Hei, kau jangan ingat dia orang tu macam kau yang suka mempertaruhkan perlawanan. Yang kau tu pulak pertaruhkan apa? Pertaruhkan berapa banyak bola yang digol atau berapa banyak duit yang masuk dalam kocek kau?” sindir Ismail sedikit sebanyak mencuit emosinya. Perbualan mereka disedari oleh jurulatih yang duduk bersebelahan tempatnya.

“Apa yang masuk apa yang tak masuk ni? Ha?” celah Cikgu Ismail yang entah dari mananya muncul. Mereka seolah-olah kaku ditempat duduk masing-masing.

“Hm…, tak ada apa-apa Cikgu,” jawab Ismail sambil mengerling kepada Azrani.

Pada majlis undian yang sedang berlangsung itu, hampir semua wakil pasukan mengakui masih dalam persediaan terakhir untuk mengenalpasti pemain dan mahu tidak mahu perlu menyegerakan persiapan masing-masing menjelang perlawanan pertama pusingan itu. Dua lagi perlawanan Piala Sumbangsih yang turut diadakan pada 29 April ini adalah antara Johor yang menjadi tuan rumah kepada sebuah lagi pasukan Perak manakala Pulau Pinang menanti kedatangan Perlis di gelanggang sendiri.

Namun, saingan di Liga Perdana untuk mencari dua pasukan terbaik ke Piala Malaysia, tetap mencuri perhatian apabila enam bekas juara Piala Malaysia – Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Brunei, Kedah, Perak- diundi dalam Perdana Satu bersama-sama Sabah, Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak dan Olimpik 2000.

Perlawanan pusingan pertama Liga Perdana dijadualkan tamat pada 5 Jun sebelum pusingan kedua bermula 12 Jun dan tamat 14 Julai ini. Bagi Perdana Dua pula, semua pasukan akan menempuh perlawanan pertama pada 6 Jun dengan NS Chempaka bertandang ke gelanggang Tentera di Stadium Tuanku Abdul Rahman; Melaka menanti kedatangan Kelantan, Johor bertemu Johor FC dan Terengganu melayani kedatangan Polis. 

Badan induk itu juga sudah mengkaji jadual pertandingan bagi Liga Perdana musim baru ini dan dijangka ia akan lebih baik berbanding masa lalu kerana akan memberi ruang lebih selesa buat pemain dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

“Selepas mengambil kira tempoh bagi latihan skuad kebangsaan, kita dapat menyediakan jadual perlawanan yang lebih baik dan tidak terlalu hampir di antara satu sama lain. Malah kita akan cuba melihat lebih jauh dan sedia mengkaji cadangan supaya perlawanan musim depan berlanjutan sehingga ke tahun 2004,” kata Datuk Lim Che Jeong; mengetuk-ngetuk dan menjentik-jentik microphone dengan jarinya bila volumenya kedengaran tidak berapa jelas; dihulurkannya pula sebatang microphone yang baru oleh seorang technician yang bertugas di sebelahnya. Sementara itu seorang wartawan sempat mengajukan soalan kepada Tengku Afizuddin yang kelihatan sudahpun bersedia untuk berinteraksi dengan wartawan-wartawan yang hadir.

“Em, Datuk Lim. Bagaimana dengan ujian kecergasan Cooper yang dicadangkan sebelum ini?”

“Sekiranya fizikal pemain baik, sudah tentu mentalnya juga baik. Pemain dan jurulatih sendiri perlu mengutamakan soal menjaga badan, pemakanan dan waktu tidur yang cukup. Kalau ujian kecergasan Cooper dibuat untuk dua belas minit, tiada salahnya ia dijalankan selama lima belas minit. Pemain juga mengambil inisiatif meningkatkan keupayaan terutama pemain muda supaya mampu bertahan bermain sehingga seratus lapan puluh minit. Tetapi kami juga kecewa kerana pemain yang dipanggil untuk pasukan kebangsaan, sering kali tidak mencapai tahap kecergasan fizikal dan mental yang dikehendaki sehingga jurulatih terpaksa memperuntukkan sebahagian besar masa bagi kedua-dua aspek berkenaan. Saya menolak andaian negara tidak mencukupi untuk diketengahkan, dan FAM sekarang dalam usaha meramaikan lagi pemain di peringkat akar umbi perlu diperhebat untuk mencapai sekurang-kurangnya nisbah satu peratus berbanding jumlah penduduk negara ini,” katanya pada sidang media itu.

            “Jadi apa yang telah dirancangkan setakat ini?” seorang lagi wartawan Metro menempelak pantas.

“FAM akan membentangkan kepada kementerian dan Jawatankuasa Pemandu Program Khas Sukan Teras untuk menambah bilangan jurulatih di peringkat bawah dalam mesyuarat esok,” sambung Tengku Afizuddin Alwi Shah.

Mengenai tempoh tajaan Dunhill yang tamat musim lalu dan kemungkinan FAM berdepan musim sukar, beliau berkata terpulang kepada semua pihak untuk memastikan liga berjalan dengan berjaya, berdaya saing bagi menarik penaja baru serta memikat penonton.

“Bagaimana pula dengan masalah tajaan yang dihadapi oleh pasukan tahun ini?”

“Setiap pasukan perlu mempunyai pemain yang bagus dan pengurusan yang cekap, sama ada di dalam ataupun di luar padang. FAM sendiri bercadang mengadakan pertemuan dengan semua pemain supaya peranan mereka dan dapat meningkatkan industri bola sepak. FAM juga kekurangan kira-kira dua puluh peratus geran tahunan kepada semua pasukan dan ini bermakna setiap pasukan perlu mengambil inisiatif mencari penaja sendiri dan bijak mengatur perbelanjaan pengurusan dan pembayaran gaji pemain, mengikut keupayaan kewangan sendiri,” sambungnya sebagai penutup ucapannya itu. Ucapannya pula disusuli dengan kerlipan cahaya kamera yang hebat.